AirAsia bangga menerbangkan Ultras Malaya dan Penyokong Harimau Malaya ke Bangkok untuk menyaksikan perlawanan kedua bagi AFF Suzuki Cup 2018 separuh akhir antara Malaysia dan Thailand di Stadium Rajamangala semalam.

Sebuah majlis penghantaran istimewa telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) yang dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dato’ Lokman Hakim bin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Kami teruja kerana sekali lagi dapat memberi sokongan kepada mereka melalui penerbangan khas ini. Kami percaya pada Ultras Malaya, ekor Harimau Malaya dan peminat pasukan bola sepak kebangsaan dan ini merupakan langkah terbaik untuk kami membantu membawa mereka menyaksikan perlawanan itu.

“Sorakan dan kata-kata semangat mereka pasti akan menyuntik lebih semangat kepada Harimau Malaya dan menjadi peringatan bahawa seluruh Malaysia akan bersorak bersama pasukan bola sepak negara pada malam ini. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka!”

Menteri Belia dan Sukan Malaysia YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, “Saya memuji langkah AirAsia sebagai syarikat tempatan yang turut sama menyokong arena sukan tempatan dan membawa Ultras Malaya dan para penyokong melalui penerbangan khas ini. Ini pasti akan menguatkan sorakan bagi pasukan kita di stadium itu. Saya berharap agar lebih banyak sektor swasta akan menyokong industri sukan tempatan supaya kita terus berkembang di pentas antarabangsa.

Komitmen AirAsia terhadap arena sukan di Malaysia adalah sebahagian dari kempen berterusan #DARETODREAM AirAsia yang mengukuhkan posisi syarikat penerbangan tersebut dalam merealisasikan impian, membangunkan arena sukan tempatan dan menyokong atlet negara dalam pelbagai tahap dengan satu visi – untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.

Sejak beberapa tahun yang lalu, AirAsia telah memberi sokongan kepada ramai atlet negara dalam usaha mereka meraih kejayaan, antaranya adalah atlet berbasikal trek Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, penerjun Leong Mun Yee, atlet bina badan Faiz Ariffin, pemain boling Syaidatul Afifah Badrul Hamid, serta pemain badminton profesional dari Akademi Badminton AirAsia Liew Daren.

- Advertisement -