Saingan Liga Malaysia yang tetap rancak berlangsung pada bulan puasa seharusnya tidak dijadikan alasan kepada pemain untuk gagal memberikan aksi terbaik.

Menurut Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan setiap jurulatih perlu mempersiapkan pasukan lebih awal bagi memastikan semua pemain bersedia beraksi pada perlawanan yang diadakan jam 10 malam pada bulan puasa.

“Sepatutnya tidak ada alasan untuk pemain beraksi pada bulan puasa dan saya percaya mereka juga sudah biasa kerana ini bukan kali pertama perlawanan berlangsung pada bulan puasa.

“Kalau tidak ada perlawanan pada bulan puasa, pasukan akan tetap mengadakan latihan. Takkan kita hanya mahu berlatih selama sebulan tanpa perlawanan dan apa akan jadi kepada jadual liga bila sebulan tertangguh.

“Mungkin orang akan kritik saya bila berkata begini kerana saya bukan seorang muslim, tapi saya sudah 29 tahun dalam bidang ini dan cukup memahami situasi pemain ketika di bulan puasa.

“Apa yang saya lakukan untuk pemain Selangor, saya akan memulakan latihan jam 11 malam bermula Rabu ini selain menyediakan pemakanan seperti susu dan kurma selepas berlatih kepada pemain.

“Saya tidak boleh memulakan latihan lebih awal memandangkan ada pemain mahu solat tarawikh jadi saya faham. Apa yang penting pemain perlu berdisplin menjaga pemakanan dan tidur yang cukup,” katanya yang juga pengendali Selangor.

Pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) meneruskan perlawanan ke-13, 14 dan 15 Liga Super dan Liga Premier serta aksi kedua suku akhir Piala FA sepanjang Ramadan ini.

Sathianathan berkata, keputusan MFL untuk meneruskan saingan liga pada bulan puasa juga bakal membantu skuad Harimau Malaya yang bakal beraksi pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 7 dan 11 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kalau kita lihat liga dan kejohanan tetap diadakan di negara Arab, malah pemain beragama Islam ramai beraksi di Eropah di mana saingan kini hampir ke kemuncak.

“Pada saya perlawanan yang berlangsung pada bulan puasa kali ini juga bakal membantu pemain kebangsaan yang bakal berlatih pada penghujung Ramadan sebelum beraksi pada hari raya. Jika mereka tidak beraksi pada bulan puasa, sukar untuk mereka mendapatkan momentum,” katanya.

- Advertisement -