jdt.ayeyawaddy

Oleh Muhammad Aiman

Di sebalik prestasi tidak meyakinkan musim ini, Kelantan bersedia untuk menoktahkan rekod gah 12 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan milik Johor Darul Takzim apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi tumpuan Liga Super, malam ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Skuad bimbingan K.Devan menampilkan prestasi terburuk mereka musim ini dalam kekalahan 2-4 kepada T-Team pada Sabtu lalu dan Devan mengharapkan respon segera dari pemainnya untuk menterjemahkan kebangkitan dengan menjadikan skuad Harimau Selatan sebagai mangsa di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri yang dijangka hadir menyaksikan pertembungan sensasi ini.

“Keseluruhan pasukan tidak beraksi dengan baik ketika tewas kepada T-Team dan ini cabaran buat mereka untuk bersatu sebagai satu unit dan bangkit menunjukkan permainan yang lebih baik. Kita tahu perlawanan menentang JDT sentiasa menjadi tumpuan dan saya harap mereka tidak mengecewakan penyokong yang hadir memberi sokongan,” ujar Devan.

Meskipun kehadiran semula Jonathan Lucca selepas khidmatnya tidak dapat digunakan di Kuala Terengganu tempoh hari akibat kecederaan menjadi tonik tambahan buat pasukan, Devan tidak menafikan kegagalan Dramane Traore untuk beraksi menepati ekspetasi tinggi yang diletakkan ke atasnya cukup membimbangkan dan mengharapkan keadaan akan berubah pada perlawanan menentang Harimau Selatan.

“Ketiadaan pemain import jelas membawa perbezaan besar, saya sandarkan harapan kepada pemain tempatan ketika menentang T-Team dan kita melepaskan empat gol. Saya gembira melihat Lucca kembali dalam latihan, tetapi (Jonathan) McKain mungkin perlukan masa lagi.

“Traore pula seorang pemain yang cukup rajin, tetapi dia perlu menjaringkan gol. Dia sedar harapan yang diletakkan ke atasnya dan ini peluangnya buatnya untuk membuktikan sesuatu. Kita ketika ini ketinggalan lapan mata di belakang JDT dan saya tidak rela kita mencicirkan lagi mata penting di gelanggang sendiri,” jelas Devan.

Kelantan ketika ini menduduki tangga keenam Liga Super dengan lapan mata selepas mencatat dua kemenangan dan dua keputusan seri dari enam perlawanan, manakala JDT gah menerajui carta liga dengan 16 mata selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut.   

Walaupun turun dengan reputasi hebat dan berada di kemuncak prestasi, Kota Bharu jelas bukan gelanggang kegemaran buat JDT yang pernah dua kali diaibkan di sini dalam apa yang disifatkan penyokong bolasepak sebagai tragedi Kota Bharu.

JDT tewas 1-4 pada kunjungan terakhir ke sini tahun lalu dan mereka juga pernah dibelasah 1-6 pada 2013 – dua kekalahan yang masih kekal menjadi kekalahan terbesar skuad juara Piala AFC itu setakat ini. 

- Advertisement -