Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa Financial Fair Play (FFP) akan dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025.

Sejak FFP dimaklumkan akan dilaksanakan dalam Liga untuk 2024 dan musim seterusnya, satu kajian mendalam telah dilakukan oleh Unit Pelesenan Kelab MFL bagi menyesuaikan FFP dengan ekosistem bola sepak tanah air serta merujuk FFP kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Hasil daripada kajian tersebut, sistem yang disesuaikan untuk keperluan Liga Malaysia bagi pelaksanaan FFP itu telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi mesyuarat yang diadakan pada 6 Mac 2024.

Tahun pertama FFP dalam Liga Malaysia dilihat sebagai tahun pengenalan untuk memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai yang menjadi isu utama dihadapi dalam liga serta meningkatkan tanggungjawab kelab dalam memastikan kestabilan kewangan yang kukuh.

Setelah proses penyerahan dokumentasi dan prosedur pemantauan yang dilaksanakan telah disesuaikan oleh kelab Liga Malaysia, mulai tahun ke-2 dan seterusnya, MFL akan terus memantau dan melaksanakan peraturan pendapatan serta perbelanjaan berhemat untuk memastikan kemampanan jangka panjang kelab-kelab.

MFL telah menganjurkan sesi pertama taklimat FFP menerusi dalam talian dengan semua kelab pada 25 April dan telah berkongsi keperluan FFP untuk musim 2024-2025. Sesi ini turut dihadiri Pengerusi MFL FFP, Tn Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Berikutan sesi ini, bengkel fizikal selanjutnya akan dianjurkan dalam masa terdekat untuk membincangkan peraturan FFP baharu yang akan dilaksanakan untuk musim 2025-2026 pula.

- Advertisement -