kedah-selangor

Oleh Muhammad Aiman

Selepas tamat aksi final Piala Malaysia yang menyaksikan Kedah muncul juara dengan menewaskan Selangor pada Ahad lalu, satu nama yang pantas menjadi sebutan hangat peminat bolasepak tempatan adalah Rizal Ghazali, pemain pertahanan kanan Kedah yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Gol pembukaan jaringannya pada minit ke-54 tidak wajar dijadikan pengukur, tetapi aksi tenang, bertenaga dan cukup meyakinkan sepanjang 120 minit permainan itulah yang melonjakkan nama Rizal sebagai antara pemain wajib dimiliki mana-mana pasukan.

Maka, tidak hairanlah apabila Rizal dikatakan menjadi buruan beberapa pasukan dari Liga Super mahupun Liga Premier yang sedia berbelanja besar bagi mendapatkan khidmatnya, termasuklah juara Liga Super, Johor Darul Takzim.

Begitupun, Kedah awal-awal lagi sudah melaungkan amaran, dan menegaskan mereka tidak bersedia melepaskan bukan sahaja pemain berusia 24 tahun itu, tetapi kesemua pemain utama Lang Merah yang bertanggungjawab membawa pulang Piala Malaysia kembali ke Darul Aman selepas lapan tahun.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini menyatakan KFA akan berusaha keras untuk mengekalkan pemain yang telah menunjukkan prestasi cemerlang tetapi dalam masa sama bergantung kepada kemampuan kewangan mereka.

ā€œPenyambungan kontrak bergantung kepada pemain sendiri kerana itu merupakan hak mereka mahu menerima atau menolak. Jika mereka mendapat tawaran lumayan dari pasukan lain, itu adalah habuan mereka.

ā€œKedah nak lawan negeri kaya tak mampu jadi kita tidak akan menyekat mereka tetapi kita akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan mereka kerana kita tidak rela kehilangan pemain-pemain tonggak utama pasukan,ā€ ujar Ahmad Bashah sebelum.

Jika Kedah tidak rela melepaskan, JDT yang disebut sedia memancing Rizal yang kini bersama pasukan kebangsaan pula menafikan khabar angin itu dengan menyatakan mereka tiada keperluan untuk membawa masuk seorang lagi pemain bek kanan kerana sudah mempunyai S.Kunanlan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Dalam satu kenyataan di laman rasmi JDT, jurulatih Harimau Selatan, Mario Gomez berkata, ā€œRizal seorang pemain yang bagus, tetapi tiada dalam perancangan JDT. Kami masih kekal dengan barisan pertahanan sedia ada di mana saya rasa ini adalah barisan terbaik pernah saya miliki selama ini dan saya amat berbesar hati mereka masih mahu beraksi bersama JDT.ā€

Gomez mungkin menafikan, namun sejarah membuktikan sebaliknya. Tidak perlu pergi terlalu jauh, lihat sahaja apa terjadi pada Azrif Nasrulhaq, pemain yang JDT beria-ria katakan tidak mahu dan tidak berminat pada awal musim 2016 namun beberapa bulan selepas itu, Azrif sah menjadi milik JDT.

Apakah skrip sama bakal berulang? Kita nantikan kesudahannya, persiapan menjelang saingan Liga Malaysia 2017 pastinya penuh dengan lebih banyak cerita-cerita menarik.Ā 

- Advertisement -