Kelantan United FC (KUFC) menyifatkan keputusan Malaysian Football League (MFL) menetapkan tarikh 28 Februari 2020 bermulanya Liga Malaysia adalah tepat bagi memberi ruang kepada setiap pasukan melakukan persediaan terbaik seiring dengan perlaksanaan Economic Control Programme (ECP).

Jelas Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, Kelantan United yang merupakan pendatang baharu dalam saingan Liga Premier 2020 sememangnya memerlukan masa yang mencukupi untuk mempersiapkan pasukan khususnya dalam menyediakan segala keperluan bagi melancarkan proses untuk memperoleh kelulusan unit ECP MFL.

Baginya, tidak timbul isu Liga Malaysia bermula terlalu lewat pada musim hadapan kerana setiap pasukan sudah sedia maklum dan memahami bahawa proses untuk menyemak setiap bajet daripada pasukan bertanding akan mengambil masa selama sebulan.

“Bagi kami di Kelantan United, kami tiada masalah untuk Liga Malaysia bermula pada 28 Februari dan kami ambil positif perkara ini apatah lagi pasukan ini adalah pasukan baharu dalam Liga Premier.

“Jadi, secara tidak langsung kami juga akan ada masa mencukupi untuk mencari lagi baki pemain-pemain berkualiti yang lain untuk bersama pasukan.

“Kami sendiri sudah memahami dan kini dalam proses untuk mendalami lagi program ECP ini dan apabila liga bermula pada 28 Februari, ia satu bonus untuk kami bagi bersedia dengan lebih awal sekiranya ada masalah-masalah yang mungkin kami tidak sedar”, jelasnya.

Tambahnya, persediaan Kelantan United dalam mempersiapkan dokumen lengkap berkenaan bajet pasukan untuk diberikan kepada MFL hampir selesai sepenuhnya.

Zul Ikman percaya segala dokumen yang diperlukan itu akan menepati kehendak yang diperlukan oleh MFL untuk memastikan setiap pasukan berbelanja dengan berhemah seiring perlaksanaan ECP berkenaan.

“Setakat ini kami sudah menyiapkan sehingga 80 peratus dokumen mengenai bajet pasukan dan semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Kami akan menghantar dokumen berkenaan sebelum 15 Disember ini yang menjadi tarikh tutup penyerahan bajet kepada MFL.

“Saya percaya persiapan kami ketika ini di laluan yang sepatutnya dan MFL sentiasa memberi panduan dan tunjuk ajar yang baik kepada semua pasukan terutamanya pasukan amatur seperti kami untuk lebih bersedia menghadapi musim 2020,” katanya.

Terdahulu, keputusan mengenai tarikh penjadualan Liga Malaysia ini telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat yang telah berlangsung semalam (Khamis) selepas mengambil kira pelaksanaan ECP bagi musim 2020.

- Advertisement -