

Malaysia memulakan kempen Deaflympics 2025 di Tokyo dengan R. Aravindakumar memastikan kemenangan bermakna dalam perseorangan lelaki pada saingan pembukaan peringkat Kumpulan di Arena Keio di Tokyo hari ini.
Namun rakan sepasukan Edmund Teo, terpaksa akur selepas kehilangan fokus selepas berada pada kedudukan selesa di set ketiga, dan gagal mengekalkan taktikal permainan dan tunduk kepada pemain tuan rumah.
Dalam acara perseorangan wanita, Trisya Rafaez pula tewas walaupun mempamerkan semangat juang yang tinggi.
Aravindakumar, pemenang pingat gangsa beregu lelaki pada Deaflympics Brazil 2022, menghadirkan kemenangan pertama Malaysia selepas mengatasi pemain Thailand, Sombun Anuntawip, dalam saingan sengit tiga set.
Pertarungan selama 54 minit itu menyaksikan Aravindakumar bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-12, 22-20.
Sombun bermula garang, mengawal tempo permainan dan memaksa Aravindakumar melakukan beberapa kesilapan pada set pembukaan. Namun, pemain negara bangkit dengan mengubah taktikal selepas mempraktikan arahan jurulatih ketika rehat.
“Saya bermula agak baik tetapi kecewa dengan set pertama,” katanya. “Jurulatih memberikan beberapa tip taktikal terutama dari segi mengawal tempo. Pada set kedua saya lebih fokus, dan pada set penentuan saya terus berjuang sehingga berjaya menewaskan Sombun,” ujarnya.
Aravindakumar berdepan pemain Taiwan, Chung-I Chen, dalam perlawanan terakhir bagi menentukan juara Kumpulan G.
Ketua jurulatih kebangsaan, Sabrina Chong, memuji penyesuaian prestasi anak buahnya: “Aravinda banyak mengubah corak permainannya hari ini. Pergerakannya baik, berjaya mengawal rali dan bermain seperti yang kami arahkan. Gaya permainannya semakin meningkat dan dia menunjukkan kematangan.”
Sementara itu, Edmund Teo, pemenang pingat perak beregu campuran di Brazil 2022 serta pemenang pingat emas Sukan SEA Pekak di Jakarta, akur dengan kekalahan perit selepas kebangkitan lewat pemain Jepun, Nagaishi. Edmund bermula cemerlang, memenangi set pertama 21-16, namun kehilangan fokus membolehkan pemain Jepun itu mengikat kedudukan dengan mata sama,  memaksa permainan ke set penentuan.
Pada set penentuan, Edmund kelihatan berada di landasan tepat dan hampir pasti meraih kemenangan apabila mendahului 12-6 dan kemudian 19-14 pada satu ketika. Bagaimanapun, kebangkitan Nagaishi menyaksikan Edmund hilang rentak apabila ditekan berterusan, akhirnya tewas 20-22 selepas 58 minit permainan.
“Saya sangka saya mampu, tetapi pemain Jepun itu lebih berpengalaman untuk bangkit,” kata Edmund yang jelas kecewa. Beliau akan menentang pemain Denmark, William Haurholm-Rasmussen, seterusnya dan kekal optimis untuk bangkit.
Jurulatih Sabrina Chong juga agak kecewa turut tetapi bersikap positif: “Memang mengecewakan kerana Edmund mendahului sepanjang permainan. Kelajuan dan keyakinannya bertambah baik, tetapi dia agak gopoh di mata-mata terakhir. Dia agak gugup, dan lawan yang lebih berpengalaman mengambil kesempatan.”
Dalam acara perseorangan wanita, Trisya Rafaez menghadapi cabaran getir dalam penampilan pertamanya, tewas dalam aksi Kumpulan I kepada pemain Jepun, Kamata, 13-21, 13-21 dalam masa hanya 15 minit. Beliau dijangka bangkit dalam perlawanan seterusnya.
































