Pahang Rangers FC kini bersedia sepenuhnya untuk menterjemah aspirasi Presiden, YAM Tengku Fahad MuaĀ’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah untuk terus melonjakkan profesionalisme dan status pasukan sebagai kuasa dominan futsal tanah air.  

Menjelang sepak mula musim baharu Malaysia Premier Futsal League (MPFL), kelab gergasi Pantai Timur ini tidak hanya mempersiapkan skuad terbaik untuk memberi cabaran, malah mengukuhkan struktur pengurusan dan agenda modenisasi kelab.

Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik, Sanwa Tours dan Physio Hero, bagi memastikan kebajikan, keselamatan, dan prestasi pemain sentiasa berada pada tahap yang optimum sepanjang saingan MPFL 2026.

Sanwa sebagai rakan logistik rasmi, akan menyediakan kemudahan pengangkutan bertaraf kelas pertama untuk kegunaan pasukan sepanjang musim.

Pasukan bakal menggunakan bas baharu berteknologi tinggi yang dilengkapi dengan sistem keselamatan terkini, sekali gus menjadikan perjalanan pasukan ke lokasi perlawanan lebih selesa dan selamat.

Sanwa percaya sukan, khususnya bola sepak dan futsal, mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan jiwa masyarakat kerana ia menyatukan komuniti, membina semangat setempat dan memberi inspirasi kepada generasi muda.

“Atas sebab itu, kami mahu memainkan peranan lebih besar dengan menyokong sebuah kelab yang mempunyai identiti kuat seperti Pahang Rangers. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk bersama-sama memajukan ekosistem sukan tempatan, bukan sahaja di dalam gelanggang, tetapi juga melalui sokongan profesional di luar gelanggang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sanwa Tours, Zaid Sabit.

Reputasi cemerlang Sanwa dalam mengendalikan operasi pengangkutan, keupayaan dalam menyediakan penyelenggaraan bas secara berkala dan pemandu profesional yang berpengalaman luas menjadi jaminan bahawa urusan logistik Pahang Rangers kini berada di tahap yang lebih efisien.

Kerjasama bersama Physio Hero Kuantan pula memastikan setiap pemain mendapat akses kepada rawatan fisioterapi profesional serta pengurusan kecederaan yang lebih efektif, sekali gus meletakkan Pahang Rangers selangkah di hadapan dalam aspek penjagaan fizikal pemain futsal profesional.

Dalam majlis sama, Pahang Rangers turut mengumumkan pelantikan rasmi tiga perunding perubatan bagi musim 2026, iaitu: Dr Muhammad Harith Rosdi (IIUM Sports Medicine Clinic), serta Dr Md Azlan Abdul Rahman dan Dr Mugilan Chandran dari Klinik Pakar Perubatan Sukan Hospital Tengku Ampuan Afzan.

“Transformasi ke arah pengurusan yang lebih profesional ini merupakan manifestasi daripada kepimpinan berwawasan YAM Tengku Fahad. Beliau sentiasa menekankan kepentingan infrastruktur sokongan yang kukuh bagi menyokong aspirasi kelab untuk terus mendominasi arena futsal tempatan dan bersaing di peringkat antarabangsa pada masa hadapan,Ā” kata Pengarah Sukan Pahang Rangers,” Muhammad Syahir Ab Aziz.

“Pahang Rangers percaya bahawa gabungan mantap antara logistik yang canggih, sokongan fisioterapi pakar, dan pengawasan perubatan yang teliti akan menjadi pemangkin utama kepada kejayaan pasukan,” tambahnya.

- Advertisement -