Hubungan erat antara Majlis Sukan Negara (MSN), pengamal media dan penaja menjadi antara fokus utama penganjuran Program Sukan Media MSN-SAM 2026 yang melabuhkan tirainya di Lumut, Perak, hari ini.

Ketua Pengarah MSN, Arrifin Mohd Ghani berkata, program anjuran bersama MSN dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) itu bukan sekadar platform menghimpunkan pengamal media, sebaliknya menjadi ruang untuk memperkukuh persefahaman antara tiga pihak yang mempunyai matlamat sama dalam membantu meningkatkan prestasi sukan negara.

Menurutnya, peranan media dalam pembangunan sukan tidak boleh dipandang ringan kerana pengaruhnya turut memainkan peranan terhadap kecemerlangan mahupun kemunduran seseorang atlet.

Justeru, beliau berharap penganjuran program selama dua hari itu dapat meningkatkan kefahaman dan kerjasama antara MSN, media serta penaja dalam memastikan pembangunan sukan negara terus berada pada landasan tepat.

“Alhamdulillah, sepanjang dua hari ini kita dapat berkumpul bersama pihak media menerusi Program Sukan Media. Kali ini kita tampil dengan sedikit kelainan apabila mengadakan aktiviti ‘treasure hunt’ dan sukaneka.

“Tujuan program ini cukup jelas, pertama untuk mengeratkan hubungan antara warga sukan media dan penaja kita yang mana objektifnya adalah sama, iaitu membantu meningkatkan prestasi sukan.

“Peranan media memang tidak dapat kita nafikan. Kecemerlangan atlet mahupun kemunduran mereka juga mempunyai kaitan dengan peranan yang dimainkan media,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup program di sini, hari ini.

Arrifin turut menyifatkan maklum balas awal terhadap penganjuran edisi kali ini sebagai positif, sekali gus berharap hubungan yang terjalin sepanjang program berkenaan dapat diteruskan dalam usaha memperkukuh ekosistem sukan negara.

“Jadi, dengan adanya program seperti ini, kita harap MSN, pihak media dan penaja dapat lebih memahami antara satu sama lain. Alhamdulillah, objektif yang kita sasarkan nampaknya mendapat respons yang sangat positif,” katanya.

Sementara itu, Presiden SAM, Norismadi Abd Manap turut merakamkan penghargaan kepada MSN dan semua rakan penaja yang memberikan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara warga media sukan, MSN dan rakan penaja.

“SAM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya MSN dan rakan penaja yang bersama-sama menjayakan program ini.

“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengukuhkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara warga media, MSN serta rakan penaja demi kepentingan pembangunan sukan negara,” kata Norismadi.

Program Sukan Media MSN-SAM 2026 yang bermula di MSN Bukit Jalil, semalam, menyaksikan seramai 150 peserta terdiri daripada kalangan pengamal media, kakitangan MSN, dan rakan penaja.

Antara pengisian utama program selama dua hari itu termasuk aktiviti ‘treasure hunt’ pada hari pertama, diikuti sesi santai dan jaringan bersama peserta. Pada hari kedua, program diteruskan dengan aktiviti telematch dan permainan dinamik sebelum sesi refleksi, majlis penutup serta penyampaian hadiah.

- Advertisement -