Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj hari ini mengumumkan barisan 28 pemain yang tersenarai di dalam Skuad Senior Lelaki Kebangsaan bagi tahun 2022 dan pemain-pemain ini akan terus dipantau prestasi mereka ketika Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 yang akan membuka tirai pada 18 Februari hingga 31 Mac 2022.

Menerusi senarai 28 tersebut, pemain yang beraksi ketika Piala Tun Abdul Razak 2021 bagi pasukan Pahang, Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim berjaya menambat hati Arulselvaraj untuk dipanggil menyertai pasukan kebangsaan dan ini merupakan penampilan pertamanya bersama pasukan negara.

Sementara lima pemain daripada senarai tersebut merupakan pemain yang beraksi di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 baru-baru ini iaitu Muhammad Arif Shafie Ishak, Muhammad Amirul Hamizan Azahar, Syarman Mat Tee, Muhajir Abdu Rauf, dan Alfarico Lance Liau Jr.

Jelas Arulselvaraj, senarai 28 pemain ini akan berubah selepas tamat saingan TNB MHL 2022 dan pemain-pemain ini perlu membuktikan kemampuan mereka serta mengapa mereka berhak untuk terus berada di dalam senarai Skuad Senior Lelaki Kebangsaan.

“Pemilihan pemain untuk senarai 28 ini adalah berdasarkan prestasi mereka sepanjang bersama pasukan kebangsaan dan untuk enam pemain baru, mereka dinilai ketika beraksi di Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 dan Piala Dunia Remaja Lelaki baru-baru ini.

“Bagaimanapun mereka akan diperhatikan serta dinilai sekali lagi dalam saingan TNB MHL 2022 dan senarai 28 pemain ini pasti akan berubah selepas tamat saingan liga.

“Penilaian pemain-pemain ketika TNB MHL 2022 tidak hanya tertumpu kepada pemain kebangsaan sahaja tetapi saingan liga ini juga merupakan peluang untuk pemain lain membuktikan diri mereka bagi mencabar tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Saya telah berpesan kepada pemain-pemain bahawa mereka perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya kepada pasukan yang mereka wakili serta prestasi mereka sepanjang kejohanan berlangsung.

“Saya juga menuntut pemain-pemain untuk memberikan aksi yang lebih daripada biasa sepanjang saingan liga dan ini bermaksud mereka perlu membuat kerja yang lebih di dalam padang serta rajin.

“Saya bukan hanya melihat kepada pemainan hoki mereka tetapi juga tahap kecergasan fizikal, ketahanan dan kematangan mereka terutamanya ketika perlu membuat keputusan di dalam padang. Jadi mereka perlu buat kerja lebih.

“Untuk pemain kebangsaan juga saya akan melihat jadual liga yang akan dikeluarkan nanti dan saya akan menyusun sesi latihan khas untuk mereka.

“Saya akan berhubung dengan pasukan-pasukan yang mereka wakili untuk memaklumkan mengenai perancangan sesi latihan pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Berikut merupakan senarai 28 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan 2022:

1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN PENJAGA GOL
2 MOHAMMAD HAIRI ABDUL RAHMAN PENJAGA GOL
3 ADRIAN ANDY ALBERT PENJAGA GOL
4 MUHAMMAD RAZIE ABDUL RAHIM PERTAHANAN
5 MUHAMMAD MARHAN MOHD JALIL PERTAHANAN
6 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL JAZLAN PERTAHANAN
7 SYED MOHAMAD SYAFIQ B SYED CHOLAN PERTAHANAN
8 MUHAMMAD SYAFIQ HASSAN PERTAHANAN
9 MUHAMMAD AMINUDDIN MOHD ZAIN PERTAHANAN
10 MUHAMMAD ARIF SHAFIE ISHAK PERTAHANAN
11 MEOR MUHAMMAD AZUAN HASSAN TENGAH
12 FAIZ HELMI JALI TENGAH
13 ZULPIDAUS MIZUN TENGAH
14 MUHAMMAD FIRHAN ASHAARI TENGAH
15 NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI TENGAH
16 MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN TENGAH
17 FAIZAL SAARI TENGAH
18 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI TENGAH
19 MUHAMAD RAMADAN ROSLI TENGAH
20 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR TENGAH
21 SYARMAN MAT TEE TENGAH
22 TENGKU NASRUL IKMAL TENGKU ABD RAHIM TENGAH
23 ALFARICO LANCE LIAU JR TENGAH
24 SHELLO SILVERIUS PENYERANG
25 NORSYAFIQ SUMANTRI PENYERANG
26 MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL PENYERANG
27 MUHAJIR ABDU RAUF PENYERANG
28 NUR RAHULL HRSIKESA MOHD MURNI PENYERANG

- Advertisement -