Tarikh 26 Ogos yang dipilih Malaysian Football League( MFL) bagi menyambung kembali saingan Liga Malaysia yang tertangguh sejak 16 Mac lalu dilihat sebagai sesuatu yang adil serta mencukupi kepada semua pasukan melakukan persiapan.

Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, menganggarkan tempoh persiapan lapan ke sembilan minggu sejak latihan Fasa 1 bermula 15 Jun lalu oleh majoriti pasukan sebagai sesuatu yang cukup bagi memastikan pemain mendapat kecergasan 100 peratus.

Dalam masa sama, beliau optimis semua pasukan akan menyambut baik tarikh ini selain dalam masa sama membantu skuad kebangsaan.

” Bagi saya tarikh ini adalah adil kepada semua pasukan kerana masa yang diberikan sejak latihan fasa 1 amat mencukupi kepada semua pasukan bagi pastikan semua pemain bersedia.

“Tarikh ini tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat selain kebenaran latihan kontak sejak 15 Julai lalu memudahkan perancangan jurulatih.

” Malah melalui kebenaran perlawanan persahabatan yang akan turut dibenarkan tidak lama lagi, saya yakin perkara ini tidak jadi masalah besar dan semua pasukan mampu berada di tahap terbaik pada 26 Ogos.

” Saya juga berasakan situasi ini juga membantu pasukan kebangsaan terutama bagi memastikan pemain-pemain sudah berada di tahap terbaik dengan hadapi aksi kompetitif sebelum ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada Jumaat, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, badan pentadbir liga tempatan itu percaya tarikh baharu saingan Liga Malaysia tersebut adalah yang terbaik buat kesemua pasukan selepas sesi latihan Fasa 2 telah dibenarkan oleh pihak kerajaan bermula 15 Julai lalu.

Felda United menghuni tangga kelima, berkongsi lima mata dengan dua lagi pasukan, Sabah (ke-4) dan Selangor (ke-6) selepas beraksi empat perlawanan sebelum saingan Liga M ditunda pada pertengahan Mac susulan penularan Covid 19.

- Advertisement -