Pengendali Sarawak United, E. Elavarasan tetap mengingatkan kepada anak buahnya agar sentiasa berwaspada dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan walaupun saingan Liga Malaysia sudah boleh bermula pada 26 Ogos depan.

Ini bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia agar tiada sebarang risiko yang boleh membahayakan sesiapa sahaja termasuklah menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan lebih rapi selepas ini.

Apa yang penting, beliau tidak mahu rasa teruja yang terlalu tinggi untuk memulakan perlawanan menyebabkan pasukan lupa untuk menjaga kesihatan tidak kira baik di dalam atau luar padang.

“Pertama sekali, memang saya gembira kerana akhirnya penantian kita semua berakhir untuk tengok saingan kembali bermula.

“Cuma, keutamaan tetap kepada aspek penjagaan diri dan perlulah mengikuti segala SOP dengan baik selepas ini kerana kita kena ingat, Covid-19 masih lagi belum berakhir sepenuhnya.

“Sekarang ini, memang saya ubah corak latihan yang diperlukan pemain kerana selama ini kita berlatih pun dengan berhati-hati tanpa sentuhan, dan yang penting adalah misi untuk kita cuba layak beraksi dalam Piala Malaysia musim ini”, jelasnya.

Sarawak menghuni tangga ke sembilan liga selepas meraih tiga mata dalam empat perlawanan yang telah dilangsungkan sebelum Liga M ditunda pada Mac susulan penularan wabak coronavirus.

- Advertisement -