Hasrat skuad bawah 16 tahun negara untuk melakar kemenangan kedua dalam saingan kumpulan A Kejuaraan Bolasepak Piala Konfederasi Asia (AFC) Bawah 16 Tahun tidak kesampaian apabila kecundang 2-4 kepada Thailand.

Segalanya tampak musnah buat skuad kendalian Lim Teong Kim di minit 50 apabila penjaring terbanyak, Luqman Hakim Shamsudin dilayangkan kad merah sekaligus memberi kelebihan buat Thailand untuk menyerang bertubi tubi.

Pilihan Lim Teong Kim untuk memasukkan Abdul Alim Al Amri Ali yang menggantikan Sikh Izhan Nazrel tampak kurang meyakinkan.

Belumpun panas, Thailand sudah mendahului seawal minit ketiga menerusi Suphanat Muenta untuk skuad kendalian Thongchai Rungreangleas didepan 1-0.

Sorakan lebih lapan ribu penyokong Harimau Muda bergema di minit ke 12 apabila Luqman Hakim Shamsudin menanduk masuk hantaran rakan sepasukan untuk jaringan penyamaan.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Suphanat menjaringkan gol kedua untuk Thailand di minit 21 selepas memanfaatkan aksi kelam kabut pertahanan Malaysia.

tiga minit babak kedua bermula, semangat juang Harimau Muda yang membenam Tajikistan dalam aksi pembukaan pada Khamis kembali selepas Muhd Firdaus Kaironnisam menyamakan kedudukan dua sama untuk Malaysia.

Episod malang bermula selepas Luqman dibuang padang dan peluang dimanfaatkan Thailand apabila pemain pertahanan Woragon Thongbai mudah menewaskan Abdul Alim untuk gol ketiga di minit 57.

Malaysia berpeluang untuk menyamakan kedudukan namun, gagal merobek gawang yang dikawal Anuchid Taweesri.

Apidet Jangnam melengkapkan kemenangan mutlak Thailand di minit 85 selepas menghukum kesilapan pertahanan negara sekaligus  menyaksikan Thailand bangkit daripada kekalahan ke atas Jepun dalam aksi pembukaan pada Khamis. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -