Impian untuk melihat pingat emas kedua dari acara berbasikal trek tidak kesampaian apabila jaguh trek negara, Azizul Hasni Awang sekadar di kedudukan ketiga dalam acara Keirin final.

Selepas meraih emas dalam acara pecut individu, Azizul turun ke Velodrom Antarabangsa Jakarta hari ini dalam misi pemburuan pingat bagi acara kegemarannya, keirin.

Beliau yang juga pemenang pingat emas dalam acara ini ketika di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China nyata tidak berdepan masalah untuk mengesahkan slot ke final selepas melepasi pusingn awal disebelah pagi.

Aksi final membariskan lima lagi pelumba, Yuddai Nitta dan Yuta Wakimoto (Jepun), Chaebin Im (Korea Selatan), Chao Xu (China) dan Jai Angsuthasawit (Thailand).

Ketiadaan Muhd Shah Firdaus Shahrom yang tersingkir di pusingan kedua nyata menyukarkan Jijoe yang dikepung oleh pelumba lain ketika di tiga pusingan terakhir.

Kayuhannya agak terbatas apabila dikawal Chao Xu yang berada di depan dan Yudai Nitta, namun Jijoe tetap mencari ruang untuk meloloskan diri.

Di pusingan terakhir, ketika semua pelumba mula melakukan henjutan terakhir, pelumba Thailand yang mendapat didikan daripada bekas pelumba trek negara, Josiah Ng, Jai Angsuthasawit lebih bertenaga untuk memecut memintas Jijoe dan Nitta sekaligus terlebih dahulu melintasi garisan penamat untuk muncul pemenang pingat emas.

Yudai Nitta aku untuk berpuas hati dengan pingat perak, manakala Azizul Hasni pastinya kecewa apabila melengkapkan podium selaku pemenang pingat gangsa.

- Advertisement -