Pemain sepak takraw putra Korea Selatan Youngman Kim (depan) menghadang tendangan bola dari pemain Malaysia, Mohamad Azlan Alias (belakang) pada pertandingan penyisihan regu putra sepak takraw Asian Games 2018 di GOR Ranau, Jakabaring Sport City (JSC), Palembang, Sumatera Selatan, Minggu (26/8).
ANTARA FOTO/INASGOC/Ferdy Siregar/nz/18

Malaysia kekal dalam landasan terbaik untuk menjuarai peringkat kumpulan sepaktakraw acara regu selepas melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Korea Selatan 2-0 di Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring pada Ahad.

Begitupun, kemenangan tidak hadir dengan mudah apabila regu negara dikerah bekerja keras oleh regu Korea Selatan yang nampak bersemangat tinggi mahu membalas dendam kekalahan dalam acara regu berpasukan tempoh hari.

Mereka tampil dengan permainan bertenaga pada set pertama dan mendahului 17-12 sebelum tindakan pantas jurulatih Abdul Talib Ahmad menggantikan tekong Syahir Rosdi dengan Zulkifli Abdul Razak membuahkan hasil.

Zulkifli yang bergandingan bersama Farhan Adam dan Azlan Alias berjaya mengutip mata demi mata dan mencatat kemenangan 23-21 dan meneruskan momentum itu di set kedua untuk melakar kemenangan 21-15.

“Saya membuat keputusan mengeluarkan Syahir kerana dia bergelut untuk mendapatkan ‘ace’ dalam servisnya dan ia menjadi lubuk buat pasukan lawan beroleh mata. Ternyata percaturan itu menjadi,” kata Abdul Talib.

Terdahulu dalam aksi yang berlangsung di sebelah pagi, gandingan Syahir-Farhan-Azlan mencatat kemenangan 2-0 (21-13, 22-20) ke atas India.

Malaysia akan turun menentang China dalam aksi terakhir kumpulan pada pagi Isnin. Kemenangan akan membolehkan mereka muncul juara kumpulan dan mengelak berdepan Indonesia di separuh akhir yang mana akan berlangsung pada hari yang sama. MUHD AIMAN 

- Advertisement -