Pasukan Pilihan Selangor menamatkan penantian empat tahun untuk merampas Piala Sultan Selangor daripada Pilihan Singapura malam tadi menerusi penentuan penalti yang berakhir dengan keputusan 5-3.

Kemenangan Pilihan Selangor bermakna impian Singapura untuk menjulang trofi buat kali ketiga berturut turut tidak kesampaian.

Piala Sultan Selangor yang memasuki edisi ke-17 tahun ini menyaksikan kedua dua pasukan terikat satu sama di Stadium Shah Alam.

Pasukan pelawat terlebih dahulu didepan menerusi percubaan Shuhei Hoshino yang bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan barisan pertahanan di minit ke lapan.

Namun, Selangor kendalian Datuk K Rajagobal tidak menunggu lama apabila dihadiahkan sepakan percuma yang disudahi tandukan kemas Rufino Segovia Del Burgo bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari gol tambahan namun tiada sebarang jaringan berjaya dicipta sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, jurulatih Rajagobal membuat beberapa pertukaran bagi memantapkan jentera serangan manakala percaturan sama dilakukan jurulatih pasukan lawan, Marko Kraljevic dengan menukar beberapa pemain.

Namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan sehingga wisel tamat separuh masa kedua dibunyikan dengan keputusan 1-1 sekali gus membawa kepada penentuan sepakan penalti.

Selaku juara, Pilihan Selangor membawa pulang Piala Sultan Selangor yang disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Untuk rekod Pilihan Selangor merakam kemenangan kali kelapan apabila pernah muncul juara pada edisi 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013 dan 2014.

 

- Advertisement -