Bekas penyerang UiTM FC dan Terengganu FC II, Akanni Sunday Wasiu tidak menyangka dia masih mempunyai ruang beraksi di Liga Malaysia selepas dilamar oleh UKM FC pada awal Mac lalu.

Sudah menginjak di usia 36 tahun, Wasiu sudah membayangkan mahu menamatkan kariernya di Liga Malaysia sambil menganggap kualiti liga ini kian kompetitif dari musim ke musim.

Namun untuk menoktahkan kerjayanya penuh gemilang, Wasiu merasakan bukan sesuatu yang mudah kerana sepanjang tiga musim bermain di sini, pemain berketinggian 1.85 meter itu akui kebanyakan pemain lawan sudah mengetahui corak permainannya tiap kali turun beraksi.

“ Saya begitu menyukai bermain di Liga Malaysia malah saya anggap Malaysia seperti negara kedua saya dan oleh kerana itu, saya masih di sini apabila UKM membuat tawaran.

“ Tambahan saya punyai ramai kawan dalam kalangan pemain tempatan manakala peminat di sini semuanya begitu baik, maka situasi itu buatkan saya terus di sini dan harap dapat bermain sehingga saya bersara daripada bola sepak.

“ Cuma rasanya saya kena tukar cara bermain kerana kebanyakan pasukan terutama di Liga Premier sudah mengenali saya dan sudah tentu mereka tahu segala kekuatan serta kelemahan saya.

“ Terus terang saya tidak sabar untuk kembali membuktikan apa yang saya sebaik liga bersambung dan walaupun sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan )ini, saya tetap bekerja keras melakukan latihan sendirian bagi kekalkan tahap kecergasan, ” katanya.

Wasiu meraih perhatian ramai pada musim 2017 apabila gandingannya bersama Do-Dung Hyun cukup berbisa apabila penyerang yang berasal dari Nigeria ini meledak 24 gol sementara rakan sepasukannya 22 gol serta membantu UiTM mara ke pentas saingan Piala Malaysia buat kali pertama.

Dia berhijrah ke Terengganu FC II pada 2018 dan meneruskan rentetan kecemerlangannya menerusi ledakan 20 gol serta membantu pasukannya muncul juara Challenge Cup.

2019 menjadi musim kurang menjadi buat Akanni apabila sekadar menjaringkan tiga gol namun dia dilantik menjadi ketua pasukan TFC II.

Dia dijangka bakal membentuk gandingan bersama bekas pemain Pulau Pinang, Julian Bottaro yang turut akan bersama UKM selepas seorang pemain import, Kevin Osei digugurkan.

Sementara itu, Wasiu tidak berasakan sebagai satu bebanan besar walaupun sedar harapan yang akan disandarkan di atas bahunya bagi menggalas kekosongan yang ditinggalkan bekas penyerang UKM musim lalu, Mateo Roskam

“ Lega rasanya liga dapat kembali tidak lama lagi dan UKM akan cuba hadirkan saingan yang sengit kepada semua pasukan biarpun latihan kami bermula sedikit lewat.

“ Saya faham tekanan yang bakal hadapi kerana jurulatih pasti mahu pemain yang ada banyak pengalaman beraksi di pentas tertinggi bagi membantu pasukan dan diharapkan mampu beri sesuatu kepada UKM pada musim ini,” katanya.

- Advertisement -