Perlawanan Antarabangsa Tier 1, melibatkan tuan rumah, Hong Kong dengan Malaysia yang dijadual berlangsung pada 15 Oktober di Stadium Hong Kong sah tidak akan dilangsungkan dan dipinda ke satu tarikh lain yang akan datang.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan media hari ini menjelaskan, surat telah dihantar kepada Persatuan Bolasepak Hong Kong (HKFA).

Kandungan surat tersebut adalah untuk memaklumkan skuad Harimau Malaya tidak dapat berkunjung ke Hong Kong atas faktor keselamatan ekoran keadaan semasa di negara itu dan hanya akan ke sana pada masa akan datang selepas situasi kembali stabil.

Malah, pada masa yang sama, FAM telah mencadangkan kepada HKFA supaya perlawanan 15 Oktober itu dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, namun ia tidak mencapai mencapai persetujuan.

Ini bermakna skuad kendalian Tan Cheng Hoe hanya akan menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 5 Oktober 2019 sebelum terbang ke Hanoi untuk berdepan Vietnam bagi perlawanan ketiga Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh pada Khamis, 10 Oktober 2019.

- Advertisement -