RWGPL-Logo-VHasrat Bangsar Hawks BC untuk keluar dari prestasi buruk dalam Resorts World Genting Purple League 2015 terus menemui jalan buntu apabila tewas 4-12 kepada Ampang Jaya BC pada perlawanan yang berlangsung di Arena Sports@Sentosa.

Kedua-dua pasukan hanya menang sekali dalam enam perlawanan lepas dan terdesak mencari kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga. Namun, ianya Ampang Jaya yang memanfaatkan kesempatan mereka menerusi aksi agresif yang memaksa Bangsar Hawks terus kempunan.Ā 

Kemenangan membolehkan Ampang Jaya bangkit dari tiga kekalahan sebelum ini dan kekal di kedudukan pertengahan liga manakala bagi Bangsar Hawks, kekalahan terbaru ini adalah yang keenam berturut-turut selepas hanya menang aksi sulung ke atas Kajang BC seterusnya kekal di kedudukan dua tercorot.

Setelah beroleh pendahuluan selesa 6-1 hasil kemenangan yang dicatat perseorangan lelaki Lee Cheuk Yiu dan perseorangan wanita Ho Yen Mei, Ampang Jaya membenarkan Bangsar Hawks bimbingan bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Razif Sidek untuk kembali dalam permainan apabila tewas dalam acara beregu campuran.

Irfan Fadhilah/Pia Zebadiah tidak berdepan masalah menewaskan Kuan Kam Chung/Shevon Lai 3-0 untuk menjadikan kedudukan 4-6. Tentangan sengit yang dijangka berterusan bagaimanapun tidak kesampaian apabila Ampang Jaya mengesahkan kemenangan menerusi aksi dominan dalam acara beregu lelaki dan perseorangan lelaki kedua.

Chin Chuan Jue/Rendy Sugiarto mengambil masa hanya 20 minit untuk menewaskan Ahmad Zaid/Leong Wen Hao 3-0 (11-4, 11-6, 11-6) manakala Setyaldi Putra Wibowo pula menewaskan Thomi Azizan Mahbub juga dengan keputusan 3-0 (11-9, 11-7, 11-6).

Setyaldi Putra telah beraksi lima perlawanan di Purple League musim ini dan ia adalah kemenangan bersih 3-0 keempat berturut-turut buat pemain Indonesia itu setelah hanya tewas pada perlawanan pembuka tirai.

ā€œSaya dapati permainan saya semakin meningkat sejak beraksi di Purple League. Saya lebih yakin dan apa yang penting adalah saya tidak boleh cepat berpuas hati, dan terus meningkatkan permainan saya. Ada tiga lagi permainan untuk saya di Purple League dan saya mahu lakukan yang terbaik,ā€ jelas Setyaldi Putra.

Ampang Jaya akan menutup tirai tahun 2015 dengan pertembungan getir menentang pendahulu liga, Muar City BC yang menang kesemua tujuh perlawanan mereka setakat ini pada Selasa depan. Manakala Bangsar Hawks pula akan menentang Serdang BC pada Isnin.

Esok akan berlangsung pertemuan di antara pasukan tangga ketiga dan keempat, iaitu Petaling Jaya BC dan Petaling BC dengan tumpuan terarah kepada kemunculan jaguh badminton tanah air, Datoā€™ Lee Chong Wei yang dijadual berdepan Iskandar Zulkarnain.

- Advertisement -