Penyerang Kedah, Azamuddin Akil berasakan dirinya ibarat ‘mati hidup semula’ apabila melalui tempoh yang cukup menyeksakan dalam karier selepas berjuang habis-habisan untuk pulih daripada masalah kecederaan sejak tahun lalu.

Bukan sahaja pengorbanan tanpa menerima sebarang gaji pada lima bulan pertama bersama Kedah malah pemain yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri yang mencecah puluhan ribu bagi menampung kos rawatan dan pemulihan.

Nyata kesanggupan Kedah yang menerimanya ketika mengalami kecederaan berbaloi apabila Azamuddin muncul wira tidak didendang pada separuh akhir pertama Piala Malaysia untuk memastikan skuad Hijau Kuning masih kekal bernyawa sebelum ke Stadium Darul Makmur bagi aksi kedua Sabtu ini.

Bagi membalas budi Kedah, Azamuddin mahu memastikan pentas final sekali lagi akan dijejaki iaitu di Piala Malaysia selepas kejayaan muncul juara Piala FA musim ini.

“Satu musim yang amat sukar sejak bergelar pemain dan banyak perkara terpaksa dikorbankan untuk diri saya dan keluarga bagi memastikan kecederaan ini benar-benar pulih.

“Saya tidak mengambil gaji lima bulan malah perbelanjaan bagi rawatan serta pemulihan, saya terpaksa keluarkan duit sendiri dan Kedah membantu daripada segi khidmat fisioterapi dan perubatan.

“Terima kasih Kedah kerana masih meletakkan kepercayaan pada saya dan menyokong kerjaya saya, selepas Piala FA, saya memang letak sasaran mahu merasai sekali lagi pentas final Piala Malaysia.

“Semua orang tahu sejarah Piala Malaysia dan bukan senang kepada mana-mana pemain merasai detik perlawanan akhir Piala Malaysia kerana ada yang sudah bermain lebih dari 10 tahun pun, belum tentu dapat merasai pengalaman masuk final.

“ Saya mahu merasainya lagi selepas rezeki saya beberapa kali sebelum ini dapat menjejakkan kaki ke perlawanan akhir, “ katanya.

Azamuddin mengubah rentak Kedah apabila dia yang dimasukkan pada minit 30 menggantikan David Rowley menjadi duri dalam daging kepada Pahang melalui dua bantuan gol termasuk jaringan penyamaan di minit akhir oleh Zaquan Adha Abdul Razak.

Prestasi terkini Azamuddin jelas menjadi bualan penyokong Kedah dan sudah ada permintaan sebahagian penyokong yang mahukan pemain berusia 34 tahun ini diletakkan dalam kesebelasan utama menghadapi Pahang di separuh akhir kedua Piala Malaysia.

Namun, Azamuddin menyerahkan keputusan itu kepada jurulatih, Aidil Sharin Sahak, dan bersedia apa sahaja peranan diberikan pada perlawanan Sabtu ini.

“ Tiada masalah bagi saya sama ada diletakkan dalam kesebelasan utama atau pemain gantian, saya akan ikut sahaja perancangan jurulatih namun jika saya diturunkan, saya berjanji akan cuba pastikan Kedah akan ke final.

“ Terima kasih juga kepada jurulatih yang berani mempertaruhkan saya ketika pasukan ketinggalan 0-2 dan saya gembira dapat balas kepercayaannya. jurulatih.

“ Keputusan seri 3-3 itu jika dilihat daripada positifnya, kami tidak kenal erti berputus asa dan paling penting, saya rasa situasi ini akan berikan tekanan kepada Pahang, bukannya kami, “ katanya.

- Advertisement -