Amy Kwan Dict Weng menampilkan aksi memukau pada dua apparatus terakhir untuk menghadiahkan Malaysia pingat gangsa menerusi acara individu keseluruhan gimnastik berirama di Pusat Sukan Tertutup Coomera pada Khamis.

Gimnas berusia 23 tahun itu mengakui dia hampir sahaja berputus asa setelah ketinggalan di belakang selepas berakhir dua apparatus iaitu gelung dan bola, namun menjelaskan suntikan semangat dari pengurus dan jurulatih membantunya bangkit mengesahkan kedudukan podium.

Amy menamatkan cabaran dengan mengumpul 51.500 mata setelah menyempurnakan apparatus belantan dan riben.

“Sesungguhnya saya tidak menyangka akan berjaya meraih gangsa sebab saya seperti sudah patah semangat selepas tidak beraksi baik dalam apparatus bola dan gelung. Sayabcuba tenangkan diri dan mendapatkan semula semangat dengan mendengar lagu ‘fighter’ oleh Christina Aguilera.

“Pengurus memeluk saya dan memberikan saya semangat, dia kata jangan sesekali mengalah sebab ada lagi dua disiplin. Saya set dalam diri saya, saya mesti tamatkan perjuangan ini dengan buat sesuatu yang terbaik dan saya gembira untuk memenangi gangsa,” ujarnya.

Pingat emas bagi acara ini dimenangi oleh gimnas Cyprus, Diamanto Evripidou yang mengumpul 55.750 mata manakala pingat perak milik gimnas Kanada, Katherine Uchida dengan 52.650 mata.

Seorang lagi atlet negara, Koi Sie Yan menamatkan saingan di tempat kelapan.

Ia adalah pingat kedua buat Amy di temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018. Terdahulu pada Rabu, dia bersama Sie Yan dan Izzah Amzan memenangi pingat perak dalam acara berpasukan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -