Pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj belum boleh meraikan kejayaan meskipun mendahului Liga Hoki Malaysia (MHL) dengan 25 mata susulan kebangkitan menakjubkan ketika mengatasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-2 di Stadium Tun Razak, semalam.
Kemenangan itu membolehkan mereka melebarkan jarak kepada empat mata di depan pencabar TNB (21 mata) manakala Terengganu Hoki Team (THT) kekal di kedudukan ketiga (16 mata) diikuti Maybank (15), TNB Thunderbolts (4), Nur Insafi (4) dan Universiti Teknologi Mara (3).
“Ia adalah persembahan hebat daripada pemain untuk memenangi perlawanan semalam tetapi ia tiada apapun yang berubah kerana kami masih berbaki tiga aksi,” kata Arul. “Saya percaya peluang semakin hampir untuk kami memenangi gelaran.
“Menentang TNB kami beraksi dengan lebih baik di babak kedua dengan pemain meningkatkan rentak permainan untuk mendapatkan gol.
“Kami mempunyai pemain yang tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan dan saya fikir ia amat membantu. Razie (Abd Rahim) menemui semula sentuhan jaringan menerusi pukulan sudut penalti dan pujian wajar diberikan kepadanya.
“Sebenarnya saya mempersiapkan pasukan hanya untuk memenangi perlawanan dan saya tidak mahu pemain melupakan tanggungjawab mereka dan keluar beraksi dengan sebaik mungkin,” katanya.
Walaupun masih ada peminat hoki yang menaruh harapan untuk TNB, THT dan Maybank bangkit menafikan impian UniKL memenangi gelaran sulung liga, namun Arul hanya ingin kekal mengikut perancangan aksi untuk mengelak situasi tersebut.
UniKL mempunyai tempoh rehat selama enam hari dan akan kembali beraksi menentang Nur Insafi (17 Februari) di Stadium Hoki KLHA sebelum berdepan Maybank (20 Februari) dan TNB Thunderbolts (22 Februari) di Stadium Tengku Abdullah.
“Memang bahaya itu sentiasa ada. Tetapi saya lebih fokus dalam usaha memastikan penyudah set-piece, taktikal serta struktur permainan berjalan seperti dirancangkan. Seperti saya cakap sebelum ini kami perlu meneruskan momentum ini dan keputusan positif akan terhasil dengan sendirinya.”
Sementara itu, pengendali TNB Nor Saiful Zaini Nasruddin berkata kekalahan kepada UniKL meranapkan impian mereka untuk menjuarai saingan liga musim ini apatah lagi pencabarnya itu memiliki pasukan yang kuat.
“UniKL adalah sebuah pasukan yang kuat. Saya tidak fikir ada mana-mana pasukan mampu mengalahkan mereka. Mereka memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi selain mempunyai penjaga gol yang bagus iaitu David Harte.”
Mereka pastinya akan memenangi liga musim ini. Untuk TNB kami akan mencuba memburu penamat tempat kedua,” katanya.