Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon berjanji pasukannya akan tampil dengan corak permainan menyerang dalam aksi timbal balik kedua final Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup™ 2025/26 pada hari Rabu ketika kelab Malaysia itu berusaha memadam defisit 1-0 menentang juara bertahan Buriram United FC.

Kedua-dua pasukan akan berentap di Stadium Buriram dengan wakil Thai League 1 itu memiliki kelebihan tipis hasil tandukan Suphanat Mueanta pada minit ke-25 dalam aksi pertama di Stadium MBPJ minggu lalu.

“Kami masih mempunyai 90 minit lagi dan apa sahaja boleh berlaku,” kata Kim. “Kami perlu kekal kuat, pulih dengan baik dan memperbaiki beberapa perkara. Saya mahu memberi semangat kepada para pemain kerana saya dapat merasakan keyakinan mereka semakin meningkat. Kami akan menjadi lebih kuat.”

Pasukan Kim agak malang kerana gagal membolosi gawang Buriram United dalam pertemuan pertama Rabu lalu apabila Noor Al-Rawabdeh dan Hugo Boumous masing-masing terkena tiang gol ketika Selangor mengalami kekalahan pertama mereka dalam Shopee Cup™ 2025/26.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Selangor dalam ke semua 22 perlawanan melibatkan semua pertandingan sejak Kim dilantik sebagai ketua jurulatih pada Januari lalu dan hanya tiga kali pasukan itu gagal menjaringkan gol di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan tersebut.

“Saya tidak menyesal,” kata Kim. “Kami kini memandang ke hadapan. Daripada menyesal, kami perlu fokus untuk memperbaiki keadaan. Daripada segi teknikal dan taktikal, barisan kejurulatihan kami akan mengusahakannya dalam beberapa hari ini dan kami akan membuat persiapan secara sangat profesional.

“Saya mahu memberi lebih keyakinan kepada pemain kerana keyakinan sangat penting. Kami akan pergi ke sana dan menyerang mereka.”

Buriram United pula akan diperkuatkan semula oleh penyerang Guilherme Bissoli untuk perlawanan itu selepas penjaring terbanyak Shopee Cup™ kelab tersebut selesai menjalani penggantungan satu perlawanan ketika aksi pertama susulan kad merah akibat menerima kad kuning kedua dalam kemenangan separuh akhir menentang Johor Darul Ta’zim FC.

Pemain Brazil itu telah menjaringkan enam gol setakat ini dalam kejohanan musim ini buat jentera serangan Buriram United yang telah meledak 19 gol dalam lapan perlawanan, jumlah terbanyak dalam Shopee Cup™.

“Penting untuk kami mendapatkannya semula,” kata ketua jurulatih Buriram United, Mark Jackson mengenai pemain berusia 28 tahun itu. “Ia akan menjadi suntikan besar buat pasukan dengan kembalinya Bissoli dan saya tahu dia sangat bersemangat untuk bermain.”

Jurulatih dari England itu menjangkakan cabaran berbeza dalam aksi timbal balik ketika Buriram United memburu kejuaraan berturut-turut bagi mengukuhkan reputasi mereka sebagai raja bola sepak kelab ASEAN.

“Daripada sudut pandang kami, kami fikir aksi kedua nanti akan menjadi perlawanan yang berbeza,” kata Jackson. “Kami tahu bagaimana untuk menguruskan proses pemulihan dan menyediakan pemain daripada segi fizikal dan mental untuk perlawanan ini kerana saingan ini masih belum tamat.

“Kami masih menjangkakan cabaran yang sangat sukar, tetapi cara kami mengharungi aksi di tempat lawan memberikan kami keyakinan yang tinggi dan kami akan membawa keyakinan itu ke aksi di laman sendiri.” – aseanutdfc.com

- Advertisement -