Dengan baki beberapa jam sebelum sepak mula final kedua Piala Suzuki AFF 2018 yang akan berlangsung di Stadium Kebangsaan My Dinh, Hanoi hari ini, kem Malaysia pastinya tidak mahu pulang ke tanah air selaku naib juara.

Kapten pasukan, Zaquan Adha melihat peluang untuk muncul juara masih terbuka untuk Malaysia dengan baki 90 minit terakhir di Hanoi.

“Kami masih lagi bersemangat untuk mengejar impian sebagai juara, tiada apa yang mustahil walaupun di bumi Vietnam dan kita kena kekalkan semangat kita, ikhlas dan jujur,”kata Zaquan.

Mengakui ramai yang mengharapkan Malaysia kembali ke tanah air selaku juara, Zaquan mengharapkan doa dan sokongan daripada semua pihak, malah turut mahu kesemua peminat bolasepak tanah air terus memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan.

“Saya faham harapan seluruh rakyat Malaysia, apatah lagi kami yang beraksi dari perlawanan pertama sehingga ke perlawanan akhir ini. Jadi kami akan cuba yang terbaik.

 

Komen Zaquan Adha selepas sesi latihan terakhir di Stadium Kebangsaan My Dinh  

 

“Usaha kami tidak akan terhenti disini selagi kami tidak habiskan perlawanan ini saya minta doa daripada seluruha rakyat Malaysia, apapun yang berlaku pada malam esok (malam ini), iaitu perlawanan akhir mahupun selepas habis perlawanan, teruskan menyokong pasukan Harimau Malaya,”katanya selepas sesi latihan terakhir Malaysia di Stadium Kebangsaan My Dinh malam tadi.

Beliau turut mengingatkan kepada rakan seperjuangan, malam ini adalah detik yang sangat penting untuk pasukan Harimau Malaya untuk kekal fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika di padang kerana sedikit kealpaan akan mengundang padah.

Malaysia perlu menang perlawanan akhir timbal balik di Hanoi untuk mengecewakan Vietnam di depan laman sendiri sekaligus menjulang trofi untuk kali kedua selepas melakukannya pada 2010.

- Advertisement -