Menjelang aksi getir Piala AFF Suzuki 2018 menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, keyakinan dan motivasi dilihat cukup tinggi di kem Harimau Malaya untuk mengutip tiga mata seterusnya menyambar tiket beraksi di separuh akhir.

Dua pertembungan terakhir kedua-dua pasukan di pentas senior, menyaksikan Malaysia tewas 0-1 kepada Myanmar termasuklah di Piala AFF Suzuki 2016 yang mana kekalahan memalukan itu menyaksikan skuad negara ‘bungkus’ awal. 

Jadi apa yang boleh difahami, baik pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan mahupun penyokong Harimau Malaya, semuanya mahu kecewa itu ditebus, dendam akhirnya berbalas, dan tidak rela sekali lagi diaibkan oleh Myanmar lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri.

Tetapi ironinya Malaysia mendapati Myanmar terlalu sukar untuk ditundukkan dengan kemenangan terakhir dilakar pada Jun 2011 apabila jaringan Amirulhadi Zainal dan Baddrol Bakhtiar menghadiahkan kemenangan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Ketika ini, setelah tamat tiga perlawanan Myanmar sedang menerajui Kumpulan A dengan tujuh mata, terikat sama mata dengan Vietnam dan satu mata mengatasi Malaysia yang menghuni tangga ketiga.

Dengan Vietnam akan menentang Kemboja yang sudahpun tersingkir di Hanoi dan sudah tentunya tidak bermasalah untuk melakar kemenangan, hanya satu slot sahaja tinggal untuk direbut dan jika Harimau Malaya menginginkannya mereka wajib mencatat kemenangan tatkala Myanmar pula hanya memerlukan seri untuk mara.

“Kita mahukan kemenangan tetapi sedar ianya akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Mereka juga datang ke sini dengan misi yang sama dan kita tidak boleh sesekali pandang rendah pada mereka. Apapun, kita tahu sedikit sebanyak mengenai kekuatan dan kelemahan mereka dan perlu memanfaatkannya. Kita ada ramuan tersendiri untuk memerangkap mereka.

“Myanmar sebuah pasukan yang bagus dalam serangan balas, mereka telah menunjukkannya dalam kesemua tiga perlawanan lalu jadi ini antara perkara kita akan beri tumpuan nanti, kita perlu berhati-hati apabila menyerang,” ujar Cheng Hoe.

Tambahnya lagi, “Seperkara yang melegakan saya adalah apabila melihat pemain-pemain begitu teruja menantikan perlawanan dan mahu memastikan kemenangan, keinginan mereka cukup membara. Saya mahu mereka kekal fokus dan sedar ini adalah aksi hidup-mati, kesilapan boleh berlaku pada saat genting dan kita kena berwaspada.”

Harimau Malaya yang tersekat di peringkat kumpulan pada 2016 membuka kempen edisi kali ini dengan kemenangan 1-0 ke atas Kemboja dan kemudiannya 3-1 ke atas Laos, sebelum tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi ketiga.

Manakala Myanmar yang merupakan semifinalis 2016 bangkit daripada ketinggalan masing-masing ketika menewaskan Kemboja dan Laos sebelum mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Vietnam, membolehkan mereka kekal mendahului kumpulan menerusi beza jaringan.

Perlawanan pada Sabtu dijangka menarik kehadiran lebih daripada 50,000 penyokong dan ia juga bakal memecahkan rekod kehadiran penyokong bagi menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -