Pemain boling pekak kebangsaan, Mohd Zaidi Awang menyifatkan Anugerah Sukan Orang Pekak Kebangsaan (ASPN) 2025 sebagai medium penting dalam usaha pembangunan dan kesinambungan atlet pekak negara pada masa hadapan.

Menurut beliau, penganjuran anugerah tersebut bukan sahaja berperanan sebagai platform pengiktirafan kepada atlet cemerlang, malah berupaya menjadi pemangkin kepada penglibatan generasi baharu dalam arena sukan pekak.

“Saya berasa bangga apabila dinobatkan sebagai Olahragawan pada Anugerah Sukan Orang Pekak Kebangsaan pada 2024. Ia merupakan satu pentas penting untuk atlet masa depan kerana itu juga, saya akan memberi sokongan kepada pemenang seterusnya,” kata Mohd Zaidi yang kini berusia 54 tahun dan merupakan pemain bagi acara Trio Lelaki Malaysia ketika memenangi pingat perak pada Kejohanan Boling Pekak 2022.

“Saya telah lama bersama MSDeaf, dan saya tahu bahawa selain sokongan daripada kerajaan, adalah penting untuk ibu bapa tampil dan memberi sokongan terhadap anak-anak mereka untuk menyertai persatuan ini.

“Dengan cara ini, MSDeaf akan mempunyai lebih ramai atlet pada masa hadapan, dan itulah yang kita perlukan ketika ini.”

Antara pencapaian utama Mohd Zaidi termasuk memenangi pingat emas di Deaflympics Munich 2023 serta membantu Trio Lelaki Malaysia meraih pingat perak pada Kejohanan Boling Pekak 2022. Pada Deaflympics Tokyo 2025, beliau menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Beliau dijangka menyertai temasya Sukan Orang Pekak Asia Pasifik yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada Oktober ini.

Anugerah Sukan Orang Pekak Kebangsaan 2025 menyaksikan lapan anugerah utama akan diberikan kepada pemenang;

Anugerah Kepimpinan Sukan

Anugerah Tokoh Sukan

Anugerah Jurulatih Kebangsaan

Anugerah Khas

Anugerah Atlet Lelaki Pekak Terbaik

Anugerah Atlet Wanita Pekak Terbaik

Anugerah Atlet Lelaki Pekak Terbaik

Anugerah Atlet Wanita Pekak Terbaik

Majlis berkenaan akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari.

- Advertisement -