Permulaan yang positif buat atlet yang menjalani latihan dibawah program Road To Tokyo terutama di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas ujian swab Covid 19 dilaporkan negatif.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menerusi kenyataan media mengesahkan perkara tersebut selepas keputusan ujian melibatkan 38 pemain dan pegawai di ABM Bukit Kiara telah dikeluarkan.

“Seramai 38 individu membabitkan atlet, jurulatih, atlet sparring, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan terbabit dalam Kem Latihan Pusat ABM.

“Semua peserta kem sudah menjalani ujian swab COVID-19 semasa sesi pendaftaran di pusat latihan masing-masing.

“Berdasarkan keputusan diperoleh daripada makmal perubatan BP Healthcare hari ini, sukacita dimaklumkan bahawa keputusan untuk ujian COVID-19 untuk Pusat Latihan di ABM membabitkan 38 individu adalah negatif,” kata Shapawi.

Keputusan ujian melibatkan satu lagi Kem Latihan di Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi hanya akan diketahui esok.

Kem Latihan Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi melibatkan 24 individu yang terdiri daripada atlet dan pegawai.

Kem Latihan Pusat Program Road To Tokyo di ABM, Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi bermula pada 1 Jun.

- Advertisement -