atm

Oleh Muhammad Aiman

Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima perkhabaran ceria setelah Football Malaysia Limited Liability Patnership (FMLLP) mengesahkan pasukan itu akan kekal beraksi dalam saingan 100 Plus Liga Premier musim depan.

ATM menamatkan saingan Liga Premier musim 2016 di kedudukan ke-11 dari 12 pasukan yang bertanding dan sepatutnya tersingkir ke saingan Piala FAM bersama-sama Sime Darby yang menduduki tangga tercorot namun FMLLP membuat keputusan pasukan itu akan menggantikan tempat DRB-Hicom yang menarik diri.

“Situasi ini sama seperti tahun sebelumnya di mana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertimbang dan meluluskan untuk mengekalkan Kuala Lumpur yang berada di tangga ke-11 Liga Premier 2015 untuk kekal bersaing di 100 Plus Liga Premier 2016.

“Oleh yang demikian, ATM dikehendaki membuat pengesahan penyertaan secara rasmi kepada FMLLP pada atau sebelum 5 petang, Jumaat (9 Disember),” demikian menurut kenyataan dari FMLLP.

ATM yang menjuarai Liga Premier pada 2012 di bawah bimbingan B.Sathianathan, mengalami kemerosotan prestasi mendadak setelah membuat keputusan tidak menggunakan khidmat pemain import dan menyandarkan sepenuhnya kepada tenaga pemain tempatan.

Mereka hanya mengutip satu mata dari 12 perlawanan awal, dan setelah rombakan dibuat pada pertengahan musim dengan membawa masuk empat pemain import iaitu Boris Fomenkov, Hasan Abdukarimov, Sirojidin Rahmatulaev dan Gies Irisbekov barulah ATM mula menunjukkan peningkatan dan berjaya mencatat empat kemenangan dan tiga kali seri. 

- Advertisement -