Olahraga, renang dan lawan pedang menjadi penyumbang pingat emas buat kontinjen negara yang sudah berjuang selama 5 hari pada temasya Sukan Universiti ASEN (AUG) 2022 yang sedang berlangsung bandar Ubon Ratchathani, Thailand ketika ini.

Empat pingat emas berjaya dihasilkan pada saingan hari kelima AUG22 ini dengan skuad olahraga tampil selaku penyumbang terbanyak dengan 3 pingat emas. Skuad enang dan lawan pedang masing-masingnya menyumbang satu emas.

Hari ini, perjuangan skuad olahraga bermula dengan lemparan emas Queenie Kung Ni Teng yang ternyata jaguh dalam acara kegemarannya iaitu lempar cakera wanita.

Lontarannya sejauh 49.44 meter telah melonjakkan namanya sebagai juara, sekali gus menghadiahkan sebutir emas buat kontinjen negara.

Emas kedua hadir menerusi lompatan Kirtana Ramasamy dalam acara lompat tinggi wanita dan ternyata dia tiada pencabar dalam acara tersebut.

Kirtana yang kelihatan tenang sepanjang mengharungi acara tersebut, berjaya melepasi ketinggian 1.54m yang sudah cukup buatnya untuk bergelar juara.

Selain dua emas yang diraih pada hari penutup acara olahraga itu, barisan atlet negara turut berjaya menghasilkan 6 pingat perak daripada 10 acara akhir yang dipertandingkan hari ini.

Penyumbang pingat perak terdiri daripada Nur Atiqah Sufiah Md Hanizam dalam acara lempar cakera wanita; Juraini Md Rodzi (100m lari berpagar wanita); Mohd Rizzua Haizad Muhamad (110m lari berpagar lelaki); Ng Yu Ji (lompat tinggi wanita) dan juga menerusi kuarter 4x400m lelaki dan wanita akhir.

Pingat gangsa diperoleh menerusi Benedick Ian Gowok (110m lari berpagar lelaki) dan B. Rammiyah dalam acara 3,000m lari berhalangan wanta.

Secara keseluruhannya, skuad olahraga antara yang cemerlang pada AUG kali ini apabila menamatkan perjuangan selama empat hari dengan kutipan keseluruhan 11 emas, 24 perak dan 5 pingat gangsa.

Acara renang juga menutup tirai hari ini dan hanya satu pingat emas berjaya dikutip menerusi kejayaan Sebastian Soon dalam acara 1500m gaya bebas lelaki.

Sebastian memenangi perlumbaan tersbeut dengan merekodkan masa 15:55.59s. Rakan sepasukannya Welson Sim menang pingat perak dengan masa 16:16.11s.

“Saya puas hati kerana berjaya menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara. Walaupun tidak berada pada prestasi terbaik, tetapi saya tetap berpuas hati dengan pencapaian di AUG kali ini,” jelas Sebastian.

Selain satu emas yang berjaya dijelmakan oleh skuad renang hari ini, mereka turut menghadiahkan tiga perak buat kontinjen negara yang berjaya diperoleh menerusi Hii Puong Wei dalam acara 50m kuak lentang wanita, Lim Shun Qi dalam acara 100m kuak kupu-kupu wanita dan juga Welson Sim dalam acar 1500m gaya bebas lelaki.

Mereka turut menghadiahan dua ganga menerusi kejayaan Ng Tze Xiang (100m kuak kupu-kupu lelaki) dan juga menerusi kuartet 4x200m gaya bebas wanita.

Secara keseluruhannya, skuad renang membawa pulang enam emas, 11 perak dan 10 pingat gangsa daripada AUG kali ini, tetapi gagal mencapai sasaran lapan emas yang menjadi buruan di bumi Ubon Ratchathani ini.

Acara lawan pedang pula terus menampilkan kejutan dan hari ini mereka menghadiahkan satu lagi emas buat kontinjen negara menerusi Philippa Jean Ong Zhiyi dalam acara foil individu wanita.

Philippa meraih kemenangan 15-10 ke atas pencabarnya dari Thailand pada aksi final, sekali gus membolehkannya menjulang emas acara tersebut.

Sebaik memenangi perlawanan tersebut Philippa menjerit kegembiraan kerana sasarannya untuk menghadiahkan emas buat negara tercapai.

“Saya hanya mahu menang sebaik berjaya melangkah ke final dan ia berjaya direalisasikan. Saya terlalu gembira kerana berjaya mengotakan janji untuk menjuarai acara ini,” jelas Philippa.

Pada saingan hari Sabtu, skuad lawan pedang turut meraih satu gangsa menerusi Isaac Seet Kai Xuan dalam acara epee individu lelaki.

Ahad, acara memanah bakal menjadi tumpuan kerana atlet negara mempunyai wakil dalam kesemua 10 acara final yang akan dipertandingkan iaitu dalam acara compound berpasukan lelaki dan wanita; compound individu lelaki dan wanita; compound campuran; recurve berpasukan lelaki dan wanita; recurve individu lelaki dan wanita dan juga aara recurve campuran.

Badminton antara yang diramal menjadi lubuk pingat buat kontinjen negara esok.

Turut berlangsung pada Ahad adalah acara bola sepak yang bakal menyaksikan pertemuan antara Malaysai dengan Thailand pada pukul 4 petang waktu Malaysia.

Selepas selesai saingan hari ini, kontinjen negara kekal berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan kutipan 27 emas, 42 perak dan 24 pingat gangsa.

Thailand kekal unggul memimpin carta dengan 46 emas, 27 perak dan 34 gangsa.

- Advertisement -