Kontinjen negara hanya memerlukan satu lagi pingat emas bagi melengkapkan 35 emas yang menjadi sasaran pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 yang sedang berlangsung di bumi Ubon Ratchathani ketika ini.
Dua acara iaitu badminton dan memanah menjadi sandaran untuk merealisasikan hasrat tersebut, tetapi gagal untuk menjelmakannya.
Memanah mempunyai semua wakil dalam sepuluh acara final hari ini manakala badminton pula mempunyai lima wakil berjuang dalam lima acara akhir.
Hari ini, tujuh pingat emas berjaya dihasilkan dan empat daripadanya disumbangkan oleh skuad memanah. Badminton pula meraih dua emas manakala lawan pedang menghadiahkan sebutir emas.
Perjuangan kontinjen negara hari ini bermula dengan cemerlang apabila atlet memanah membuka gelanggang dengan penyudah emas.
Muhammad Zarif Syahir Zolkepli yang menggalas cabaran dalam acara recurve individu lelaki tidak berdepan masalah untuk mengatasi lawannya dari Indonesia iaitu Alvinyanto Bagas Prastyadi di final dengan kemenangan 6-2.
Kejayaan Zarif ternyata melonjakkan semangat skuad recurve wanita yang turut tampil cemerlang untuk menewaskan Thailand 6-2 di pertarungan akhir.
Skuad recurve wanita negara diwakili Nur Afisa Abd Halil, Nuramalina Haneesha Mazlan dan Syaqiera Mashyikh.
Emas ketiga skuad memanah pada saingan sebelah pagi disumbangkan oleh skuad recurve campuran yang diwakili Ahmad Afiq Akhiroman dan Syaqiera Mashayikh yang turut mencatat kemenangan 6-2 ke atas Thailand.
Menyusul selepas itu adalah kemenangan yang diraih oleh pasukan compound wanita yang berjaya menewaskan tuan rumah Thailand di final.
Skuad negara yang diwakili Iman Aisyah Norazam, Kayalvhily dan Nuraqilah Khairul hanya memungut 229 mata, kelebihan dua mata ke atas Thailand yang mencatat jumlah keseluruhan 227.
Selain empat emas yang berjaya diraih pada hari terakhir acara memanah di Stadium Utama PAO itu, skuad negara turut menyumbangkan enam perak menerusi acara compound berpasukan lelaki; compound campuran; recurve individu wanita; acara compound individu lelaki dan wanita dan juga menerusi acara recurve berpasukan lelaki.
Ia prestasi yang agak cemerlang buat skuad memanah yang boleh dianggap telah menguasai acara tersebut pada AUG kali ini.
“Ini sahaja yang kami termampu dan barisan atlet telah tampil dengan prestasi terbaik,” jelas pengurus pasukan,Suhardi Abdullah sebaik selesai acara berkenaan hari ini.
Di gelanggang badminton pula, dua pingat emas berjaya dihasilkan menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu wanita.
Emas perseorangan lelaki disumbangkan oleh Faiz Rozain yang menang 21-13, 21-8 ke atas lwannya dari Indonesia, Muhammad Rafi Zafran Ferary.
Gandingan Teoh Lexuan-Yap Rui Chen pula melakukannya dalam acara beregu wanita selepas menewaskan rakan sepasukan Desiree Siow Hao Shan-Ng Qi Xuan 18-21, 22-20,21-11 di perlawanan akhir.
Beregu lelaki yang diperkuatkan oleh Amri Ameer Zainuddin-Mohd Faris Zaim Abd Kadir sekadar berpuas hati dengan kejayaan meraih pingat perak selepas tewas kepada pasangan Indonesia di final.
Satu lagi pingat perak yang dihasilkan oleh skuad badminton hari ini adalah menerusi gandingan Desiee Siow-Tan Kok Xian dalam acara beregu campuran selepas mereka tewas kepada pasangan Indonesia Dwiki Rafian Restu-Elizabeth Jovita 22-20, 23-21 dalam perlawanan akhir.
Misi skuad badminton berjaya direalisasikan pada temasya kali ini apabila menutup kempen mereka dengan keseluruhan 4 emas, 3 perak dan 4 pingat gangsa. Sasaran skuad kendalian Datuk Rashid Sidek itu pada AUG kali ini adalah untuk menyumbangkan 3 emas.
Acara lawan pedang yang turut turun ke gelanggang hari ini sekali lagi menampilkan aksi luar biasa apabila pasukan foil lelaki berjaya menghadiahkan sebutir emas buat kontinjen negara.
Pasukan negara yang diwakili Chong Hong Ling, Akson Hydheer, Lim Jit Ian dan Tengku Muadzam Sadruddin Tengku Amran berjaya mengumpul 45 mata untuk mengatasi pancabar mereka dari Thailand yang sekadar meraih 34 mata.
Sementara itu skuad bola sepak semakin hampeir untuk menempah slot ke final selepas mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan kedua mereka di Stadium UBRU petang ini.
Pada perlawanan pertama sebelum ini, skuad negara meraih kemenangan 2-1 ke atas Myanmar.
Selepas selesai saingan hari ini, kontinjen negara berjaya mengutip 7 pingat emas 9 perak dan 3 gangsa untuk menjadikan jumlah keseluruhan 34 emas, 52 perak dan 28 gangsa setakat ini.
Thailand masih mendahului kedudukan dengan 52 emas, 33 perak dan 34 pingat gangsa manakala Indonesia berada di kedudukan ketiga dengan 30 emas, 28 perak dan 29 gangsa.