Axis-O2 PJ FC mencipta sejarah muncul pasukan amatur pertama yang layak beraksi di pertandingan Piala FA 2018 selepas menjuarai Selangor Champions League 2017 pada Sabtu lalu.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu, Axis-O2 PJ FC berpengkalan di Petaling Jaya menewaskan PIB FC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa perlawanan sebenar.

Lebih daripada 6,000 penyokong kedua-dua pasukan turun menyaksikan perlawanan tersebut yang turut dihadiri oleh D.Y.T.M. Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.

PIB FC terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-26 menerusi jaringan Khairul Anuar namun Muhammad Farhan mengikat kedudukan 1-1 buat Axis O2 pada minit ke-64 menerusi sepakan percuma cantik yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit, memaksa pemenang untuk ditentukan menerusi sepakan penalti. Kegagalan Mamadou Berete dan Khairul Anuar menyempurnakan penalti membolehkan Axis-O2 PJ FC pulang dengan trofi kejohanan beserta wang tunai sebanyak RM10,000 dan baucar bernilai RM2,000 daripada Kaki Jersi.

Sebagai memeriahkan perlawanan akhir ini, penganjur kejohanan, Football Selangor turut mengadakan Hari Bola Sepak Komuniti Selangor 2017.

Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat pengunjung adalah Forum Bola Sepak Komuniti melibatkan panel-panel terkemuka dalam arena bola sepak negara seperti Safirul Abu Bakar (Ketua Pengarah Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara); Mehmet Durakovic (Ketua Jurulatih Perak); Datuk Santokh Singh (lagenda bola sepak negara) dan Shazwan Wong (Pengarah Urusan Little League Malaysia).

Ia menyediakan platform buat peminat bola sepak tempatan berkongsi dan bertukar pendapat dengan panel-panel forum dan mereka turut berpeluang bertemu serta beramah mesra dengan ikon-ikon bola sepak negara seperti Safee Sali, Dato’ K. Rajagobal dan ramai lagi dalam sesi Meet & Greet selepas forum berakhir.

Selain itu, turut diadakan kejohanan Freestyle Football, Panna K.O, Street Soccer, pertandingan E-Sukan FIFA2018, permainan ‘Virtual Reality’, pameran teknologi terkini di Smart Selangor Corner,  Bazaar Bola Sepak serta Klinik Bola Sepak Anjuran NFDP dan Akademi Bola Sepak Merah Kuning (ABMK).

Turut berlangsung perlawanan persahabatan antara SCL All Stars menentang Terengganu Amateur League All Stars, Ultras Selangor menentang Selangor Elite dan Team Media FC menentang Pasukan Selebriti.

Untuk rekod, SCL sudah memasuki tahun kedua penganjuran selepas kali pertama dianjurkan pada tahun 2016. Kejohanan yang diilhamkan oleh Raja Muda Selangor ini menemukan pasukan-pasukan terbaik dari liga-liga bola sepak sosial dan amatur dari seluruh Selangor.

Biarpun usia kejohanan ini baru menginjak 2 tahun, SCL telah pun berjaya mencapai objektifnya untuk mencungkil bakat-bakat baru di peringkat amatur dan menjadi kejohanan paling berprestij di Selangor.

Beberapa pemain yang beraksi dalam SCL2017 kini sudah mula berada dalam radar pasukan profesional di Malaysia. Manakala kualiti, piawaian, standard penganjuran dan liputan media luas yang dimiliki oleh SCL2017 membuatkan pasukan-pasukan amatur terbaik di Selangor sudah mula berebut-rebut untuk mendapatkan slot layak ke SCL.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -