Susulan kejayaan atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad meraih pingat emas pertama di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pagi tadi memberi tuah apabila Majlis Sukan Pahang (MSP) hari ini mengumumkan ganjaran sebanyak 10 ribu ringgit.

Selain meraih emas, atlet kelahiran Rompin itu turut memperbaharui dua rekod kejohanan (snatch dan jumlah angkatan keseluruhan) yang dipegang Amirul Hamizan Ibrahim.

Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Mohamed Rashdan Mohamed Razali memaklumkan, insentif khas itu sebagai penghargaan atas kejayaan meraih pingat emas melalui skim imbuhan Sukan Komanwel yang ditetapkan kerajaan Pahang. 

Beliau turut berharap, pingat emas pertama itu mampu memberi suntikan semangat kepada atlet negara lain yang bertanding dalam kejohanan itu untuk meraih kejayaan seperti yang dilakukan Azroy.

Pagi tadi Azroy menceriakan kem negara apabila meraih emas setelah melakukan angkatan 117 kilogram bagi displin snatch dan 144kg bagi displin clean and jerk untuk mengumpul jumlah angkatan keseluruhan 261 kg.

 

- Advertisement -