Pengurus kelahiran Belanda, Ronald Koeman dipecat daripada jawatan Ketua Jurulatih kelab La Liga, Barcelona selepas 14 bulan mengendalikan kelab itu.

Ia susulan prestasi hambar beliau membawa The Catalan termasuk kekalahan 0-1 kepada Rayo Vallecano malah hanya mampu untuk mengumpul 15 mata daripada 10 perlawanan.

Barca juga tewas 1-2 dalam perlawanan el classico ke atas Real Madrid.

Pengendali berusia 58 tahun itu juga tidak mendapat banyak bantuan daripada pengurusan Barcelona susulan masalah kewangan ditambah kehilangan bintang Argentina, Lionel Messi yang berhijrah ke Paris St Germain.

Beliau hanya mampu membawa masuk Memphis Depay, Sergio Aguero dan Eric Garcia secara percuma selain Luuk de Jong yang dibawa dari Sevilla secara pinjaman.

Konflik turut berlaku melibatkan Koeman dan pengurusan kelab dimana beliau dibawa masuk ketika Josep Maria Bartomeu masih merupakan Presiden kelab itu sebelum Joan Laporta mengambil alih jawatan selaku Presiden baharu.

Hubungan diantara Laporta dan Koeman dilaporkan tidak begitu baik dimana bekas pemain pertahanan Belanda itu dikecam peminat peminat The Catalan.

Barca ‘kehilangan’ Luis Suarez kerana tindakan Koeman yang ‘menghalau’ Suarez. Malah pemain sayap Perancis, Antoine Griezman turut sama angkat kaki mengikuti jejak Suarez berhijrah ke Atletico Madrid.

Pengendali kelab di Qatar, Al Sadd yang juga lagenda Barcelona, Xavi dikhabarkan salah satu daripada individu yang berada di dalam senarai untuk mengisi jawatan pengendali Barcelona.

 

 

- Advertisement -