Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menyifatkan kemenangan 3-2 ke atas Pahang pada pusingan pertama TM Piala Malaysia menjadi tonik terbaik buat pemain Helang Merah untuk mencipta sesuatu dalam kejohanan kali ini.

Aksi dengan Pahang sememangnya antara perlawanan paling sukar ditempuh buat Kedah namun Aidil gembira serta memuji melihat semangat juang pemainnya yang berhempas pulas untuk menafikan kebangkitan lawan.

Namun Aidil berkata, segala kesilapan yang berlaku terutama di separuh masa kedua diharapkan tidak berulang kembali pada perlawanan akan datang di mana mereka selesa mendahului Pahang 3-0 separuh masa pertama sebelum membiarkan lawan merapatkan jaringan dua gol selepas itu.

“ Perlawanan hari ini cukup sengit kerana bertemu pasukan seperti Pahang, mereka mempunyai skuad yang begitu fizikal dan kuat tetapi saya gembira bila melihat Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam mampu imbangi kekuatan di bahagian tengah.

“ Kemenangan yang melayakkan kami ke peringkat seterusnya boleh membuatkan pemain-pemain saya percaya mereka ada kemampuan untuk peringkat seterusnya selepas ini apabila kami akan bertemu Selangor atau Melaka.

“ Memang sesuatu yang normal apabila sudah mendahului, pasukan lawan akan lebih memberi tekanan yang lebih tinggi kerana mereka tidak kerugian apa-apa selepas ketinggalan 3-0.

“ Pemain-pemain saya nampak sedikit tidak tersusun ketika diberi tekanan oleh lawan tetapi yang paling penting di akhirnya kami memenangi perlawanan berkenaan.

“ Cuma di perlawanan akan datang, kami kena kurangkan lagi kesilapan yang berlaku hari ini kerana lawan boleh menghukum kami dan melalui video analisis, kami akan kaji balik kelemahan yang ada pada pasukan kerana tidak mahu ia berulang sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mengakui pemain-pemainnya bermain di bawah tahap sebenar pada babak pertama serta mengakui terkilan sepakan penalti yang diambil Dickson Nwakaeme pada minit-79 gagal menemui sasaran kerana mungkin boleh menghidupkan peluang Pahang mencari jaringan penyamaan.

“ Separuh masa pertama, pemain mungkin beraksi sambil lewa terutama di bahagian pertahanan dan gol kepada Kedah, kita boleh lihat semuanya dalam keadaan yang tidak berbahaya dan kesilapan-kesilapan mudah.

“ Sebelum separuh masa kedua, saya beritahu pemain dalam bilik persalinan agar mereka ubah sikap dalam padang atau mereka akan berikan lebih banyak gol lagi kepada lawan.

“ Nyata nasib tidak sebelahi kami kerana dapat membalas dengan dua jaringan sahaja dan terkilan juga dengan penalti diambil Dickson kerana bola itu masuk, kita ada masih banyak masa lagi untuk bangkit tetapi sudah tidak masuk, hendak buat macam mana, ” katanya.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman, Kedah mendahului dengan selesa pada babak pertama melalui gol daripada Shakir Hamzah (minit-17), Kpah Sherman (minit-36) dan Tchetche Kipre (minit-44) namun Muslim Ahmad memberikan sedikit sinar harapan buat Pahang apabila menjaringkan gol pada minit-49 sebelum Faizal Rani merapatkan jurang pada minit-88.

Turut mara ke suku akhir, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menang tipis 1-0 ke atas  pasukan yang melakukan penampilan sulung di pentas TM Piala Malaysia, Kuching FA di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin hasil jaringan pemain muda berusia 18 tahun, Arif Aiman Mohd. Hanafi pada minit-19.

JDT akan berdepan Kuala Lumpur yang mendapat ‘Bye’ pada pusingan pertama.

Juara Liga Premier, Pulau Pinang cemerlang di Stadium Bandaraya selepas menundukkan Felda United, 3-1 bagi mengulangi pencapaian mara ke suku akhir yang kali terakhir dilakukan pada musim 2006.

Penjaring terbanyak Liga Premier, Casagrande terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit-37 sebelum Felda bangkit menyamakan kedudukan pada minit-49 menerusi Nicolas Velez.

Namun, jaringan Amer Azahar pada minit-62 dan Lee Chang-hoon pada minit-76 memastikan skuad Harimau Kumbang merintis laluan ke suku akhir dengan menanti pemenang UiTM FC dan Kelantan.

- Advertisement -