Ranking bukan segalanya dan ia dibuktikan gandingan bergu campuran negara, Goh Soon Huat/ Shevon Lai Jamie yang merangkul trofi kedua musim ini.

Turun berdepan pilihan utama kejohanan, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir, Soon Huat dan Shevon ternyata tidak diletak selaku pilihan untuk melakar kemenangan.

Pertemuan sulung kedua dua gandingan ini ternyata memihak Soon Huat dan Shevon yang cukup aggresif menyerang selain menanti peluang terhidang untuk meraih mata ke atas kesilapan lawan.

Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jamie yang juga juara Terbuka Jerman menguasai set pertama sehingga dipertengahan babak apabila Tontowi dan Liliyana bangkit dengan aksi yang lebih kemas untuk mengikat kedudukan 19 sama.

Namun, Soon Huat, Shevon tampak lebih fokus untuk memastikan dominasi milik mereka sekaligus menutup set pertama dengan kemenangan 21-19.

Senario yang hampir sama dipamerkan bergu campuran nombor dua negara yang mengungguli saingan di set kedua sebelum diekori rapat gandingan utama Indonesia.

Ia tidak menggugat fokus gandingan bergu campuran negara yang terus fokus sehingga ke hujung perlawanan untuk memastikan kemenangan straight set selepas menang 21-18 di set kedua sekaligus dinobat selaku juara.

“Kemenangan ini amat bermakna bagi kami kerana ia yang pertama bagi kami dan saya berharap kami akan terus meraih kemenangan dan tentunya banyak pengalaman yang kami peroleh di sepanjang kejohanan ini.

“Mereka adalah pasangan yang lebih berpengalaman, mudah bagi mereka untuk mengubah permainan dan untuk mereka mendapatkan mata, itu memang dijangka, jadi bila mereka mengejar, kami hanya perlu mengekalkan permainan kami. Hanya perlu ikuti rancangan kami,” kata Shevon kepada media tempatan.

Kemenangan itu membolehkan Soon Huat-Shevon membawa pulang wang tunai US$ 28,045 .

 

 

- Advertisement -