Jika diberi pilihan, Thiago Aquino Junior mahu terus menabur bakti bersama Perak namun pemain itu mendedahkan dia berhijrah ke Felda united selepas tiga musim menyarung jersi sang seladang kerana khidmatnya tidak lagi diperlukan.

Pemain yang merupakan kesayangan penyokong di Ipoh itu berkata dia begitu setia menanti tawaran lanjutan kontrak dari Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) selepas kontraknya berakhir bulan lalu namun ianya tidak berlaku justeru membuatkannya menukar haluan.

“Saya sebenarnya telah menerima tawaran Felda lebih awal lagi tetapi saya memberi keutamaan kepada Perak. Namun setelah menanti dan ejen saya memaklumkan tiada tawaran dari PAFA, barulah saya bersetuju sertai Felda.

“Saya tidak berkecil hati kerana mereka mungkin ada alasan tersendiri, lagipun sepanjang tiga musim di sana saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mereka. Fokus saya kini adalah Felda United, saya sudah memulakan latihan dan selesa dengan rakan sepasukan baru,” ujarnya.

Sepanjang bersama Perak, walaupun tidak berjaya memenangi sebarang trofi, namun Thiago menyerlah sebagai jantung pertahanan The Bos Gaurus dan musim 2017 boleh disifatkan sebagai musim terbaiknya setelah membantu Perak menduduki tangga kelima Liga Super dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Malah, komitmen Thiago ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim di mana dia membalut sendiri kepalanya yang berdarah dan masuk semula ke padang untuk meneruskan aksi mendapat pujian dan tepukan gemuruh penyokong bolasepak tempatan.

Walaupun tahap kompetitif saingan sedikit berbeza memandangkan Felda bimbingan B.Sathianathan hanya akan beraksi di Liga Premier musim depan gara-gara kegagalan mendapatkan lesen Liga Super, Thiago berpendapat itu tidak menjadi masalah buatnya.

Dia tekad mengerah kudrat terbaik dan membantu pasukan itu segera kembali ke liga bolasepak utama tanah air malah dengan kekuatan pasukan, dia berpendapat tidak mustahil The Fighters boleh menjulang tiga kejuaraan.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -