Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memutuskan tentang status penganjuran kejohanan Badminton Celcom Axiata Terbuka Malaysia selepas mesyuarat ahli majlis BAM yang akan diadakan kelak.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria menjelaskan badan induk badminton negara yang juga penganjur kejohanan itu perlu menyelesaikan beberapa perkara sebelum memutuskan samada mahu meneruskan atau sebaliknya Terbuka Malaysia yang menawarkan wang tunai berjumlah US$750,000.

Antara yang perlu dipertimbangkan adalah kos tambahan untuk proses sanitasi dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak penularan wabak coronavirus.

Perintah bagi penjarakkan sosial yang perlu dipatuhi selain tidak membenarkan kehadiran penonton yang dikeluarkan juga antara faktor yang perlu difikirkan oleh BAM

Lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut menyarankan agar semua kejohanan badminton bagi tahun ini dibatalkan termasuklah Terbuka Malaysia memandangkan keadaan semasa Covid 19 yang belum menampakkan sebarang tanda ia bakal berakhir.

Malah, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah mencadangkan Terbuka Malaysia berlangsung dari 24 – 29 November, namun ia bergantung kepada keadaan semasa Covid 19 dan arahan semasa kerajaan negara penganjur.

Disebalik perkhabaran gembira ini, BWF turut mengesahkan, kejohanan yang berlangsung sepanjang tahun ini tidak akan menawarkan mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung pada Julai tahun depan.

Mata kelayakan bagi sukan Olimpik hanya akan bermula pada awal tahun 2021.

Status kehadiran pemain pemain dari luar negara turut menjadi persoalan memandangkan kebanyakan negara masih mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

 

- Advertisement -