Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai terus mencipta sensasi di Kejohanan SuperSeries Terbuka Denmark, namun nasib berbeza dialami jaguh perseorangan lelaki Dato’ Lee Chong Wei yang ditunjukkan jalan keluar oleh pemain India, H.S Prannoy.   

Chong Wei yang memburu pencapaian positif di Odense sebagai hadiah hari jadinya pada 21 Oktober terpaksa berputih mata setelah kecundang 17-21, 21-11, 19-21 di pusingan ketiga kepada pemain nombor 14 dunia itu dalam perlawanan yang berlangsung 64 minit.

Kekalahan itu juga adalah yang kedua buat bekas pemain nombor satu dunia itu kepada Prannoy pada tahun ini setelah turut tewas di Terbuka Indonesia pada Jun lalu sekaligus gagal mengubat kecewa tersingkir di peringkat suku akhir kejohanan ini pada tahun lalu.

“Saya harapkan satu penampilan yang lebih baik kali ini tapi kecewa sekali lagi. Set pertama penuh dengan kesilapan tetapi saya berjaya dapatkan semula rentak di set kedua. Saya tiada masalah untuk menandingi kepantasan Prannoy, saya tewas kerana kesilapan mudah.

“Saya memberikan mata mudah menerusi kesilapan yang tidak sepatutnya, saya perlu kurangkan kesilapan begini di masa akan datang,” ujar Chong Wei yang menghadiahkan kemenangan buat Prannoy di set penentuan setelah tersilap menduga jatuhan bulu tangkis di ‘baseline’.

Di kala Chong Wei tangisi nasib malang, pasangan Soon Huat-Shevon meneruskan kemaraan ke suku akhir setelah mengejutkan pilihan keenam, Wang Yilyu-Huang Dongping yang juga pasangan di kedudukan nombor lapan dunia 21-14, 16-21 dan 21-18.

Gandingan nombor 14 dunia itu juga merupakan satu-satunya wakil negara yang masih tinggal di Terbuka Denmark setelah beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut tersingkir di pusingan ketiga setelah tewas kepada Naoki Fukuman-Kurumi Yonao dari Jepun.

Mereka akan berdepan pasangan kurang ternama tuan rumah, Niclas Nohr-Sara Thygesen di peringkat suku akhir yang dijadual berlangsung lewat malam Jumaat.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -