Persiapan pasukan kebangsaan untuk beraksi di Kejuaraan Futsal AFF 2019 sedikit terencat dengan kecederaan dialami kapten pasukan, Khairul Effendy Bahrin. 
Pemain Pahang Rangers itu mengalami kecederaan ketika membantu Malaysia memenangi CFA Belt and Road Cup International Futsal Tournament di China pada bulan lalu, dan masih belum pulih sepenuhnya. 
Situasi itu memaksa ketua jurulatih Chiew Chun Yong untuk menyisihkannya dari skuad 16 pemain ke China dari 4 hingga 8 Oktober, di mana skuad Malaysia akan bermain di CFA International Futsal Tournament yang merupakan persiapan fasa akhir sebelum ke AFF. 
“Kita telah memanggil 20 pemain terbaik untuk menjalani latihan pusat bermula 1 Oktober, daripada senarai itu, saya bawa 16 pemain ke Changsu setelah menilai tahap kesediaan fizikal, mental dan paling utama kecergasan mereka. 
“Ada pemain yang melapor diri dalam keadaan tidak cukup cergas selain membawa kecederaan ringan termasuklah Ayon (Khairul Effendy), mereka terpaksa diketepikan (dari skuad ke China).  
“Ayon akan menjalani pemulihan di FAM dan dipantau oleh pakar di sini, sebenarnya tidak serius, cuma kita bagi dia fokus untuk kembali kepada kecergasan penuh, diharap menjelang pertandingan bermula dia sudah bebas kecederaan. 
“Saya mahu semua pemain guna sebaik mungkin peluang bermain di China ini untuk menunjukkan kredibiliti mereka dan bersaing sengit untuk mendapat tempat dalam senarai akhir skuad ke AFF,” ujar Chun Yong. 
Di Changsu nanti, Malaysia dijadual berdepan Maghribi pada 6 Oktober, disusuli Denmark (7 Oktober) dan tuan rumah China pada 8 Oktober. Sekembalinya dari China, Chun Yong berkata dia mungkin akan mengatur satu atau dua perlawanan persahabatan berkemungkinan menentang mana-mana pasukan Malaysia Premier Futsal League (MPFL). 
“Ia bergantung, memang kita merancang adakan beberapa perlawanan, kalau ada mungkin satu satu dua kerana saya perlu mengambil kira keadaan mereka secara fizikal dan mental. Sudah tentu mereka juga perlukan rehat yang cukup sebelum kita ke Vietnam. 
“Saya tidak mahu pemain keletihan kerana seperti saya selalu kata, aspek kecergasan sentiasa menjadi kebimbangan bagi pemain-pemain kita, ada yang tidak dapat bertahan untuk bermain banyak perlawanan dalam masa singkat, jadi saya perlu berhati-hati,” kata Chun Yong lagi. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -