LPT2 Sdn Bhd (LPT2) mensasarkan 2,000 penyertaan pada acara kayuhan LPT2 De’Perasing Ride 2019 – Ajil Challenge yang akan berlangsung pada 16 November yang akan datang dan pendaftaran penyertaan secara atas talian (online) kini dibuka kepada peminat sukan berbasikal.

“Acara tahun ini akan menggunakan laluan yang baru di mana ia akan bermula dan berakhir di R&R Ajil berbanding di R&R Perasing sebelum ini,” kata Pengurus Perniagaan LPT2, Roszi Ibrahim.

Menurut beliau, berikutan sambutan yang amat menggalakkan pada 2 edisi sebelum ini, pihak LPT2 mensasarkan penyertaan yang lebih ramai tahun ini berbanding 1,200 dan 1,500 pada tahun 2017 dan tahun lalu.

Pendaftaran boleh dilakukan di www.cognitoforms.com/DePerasing/DePerasingRide2019 akan ditutup pada 10 Oktober ini.

Acara pada tahun ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu Road Bike (110km), Mountain Bike (50km) dan Fun Ride (50km).

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM50 hingga RM120 bergantung pada kategori. “Sepertimana kayuhan sebelum ini, kami menjangkakan peserta-peserta dari luar negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia akan turut sekali lagi mengambil bahagian. Paling menarik, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga turut menyatakan persetujuannya untuk sekali lagi mengambil bahagian pada kayuhan tahun ini,” jelas Roszi lagi.

LPT2 De’Perasing Ride 2019 – Ajil Challenge turut menawarkan hadiah-hadiah menarik seperti cabutan bertuah sebuah Yamaha NVX dan Y125ZR serta hadiah wang tunai untuk penyertaan pasukan teramai dan lain-lain lagi.

Selain itu, pelbagai gerai jualan makanan, minuman serta aksesori basikal turut dibuka di R&R Ajil sempena cara kayuhan tersebut.   

- Advertisement -