Md Izzat Zaidi Md Salehan melakarkan kemenangan bagi pasukannya PETRONAS Spinta Yamaha – CKJ Racing di pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, musim ke-29 yang berlangsung di Litar Jempol.

Pelumba CP150 yang berasal dari Selangor telah mencatatkan masa terpantas di sesi perlumbaan akhir apabila beliau melengkapkan kesemua 20 lap tersebut dengan kelajuan yang konsisten sepanjang perlumbaan.

Izzat yang telah memulakan perlumbaan di petak grid pertama tidak memberikan peluang kepada pelumba-pelumba lain untuk mengambil tempatnya di P1. Beliau kelihatan yakin dengan jentera serta kebolehannya untuk mempertahankan kedudukannya di tempat pertama sepanjang perlumbaan.

Pada pusingan lepas, Izzat telah mengambil tempat ketiga secara keseluruhan. Persembahan beliau sepanjang musim ini tidak kurang hebat dan telah menaiki podium di tempat kedua pada pusingan pertama kejuaraan ini.

Pada sesi kelayakan semalam, Izzat mencatatkan masa kedua terpantas dengan catatan masa 44.310s manakala bagi sesi Super Pole, beliau mencatatkan masa terpantas, 44.023s. Bagi perlumbaan akhir, beliau menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14’48:244s.

Menurut Izzat, “Saya berasa amat gembira kerana akhirnya berjaya mendapat tempat pertama di podium.”

“Bagi saya, perlumbaan ini telah berjalan dengan agak lancar. Afif telah banyak membantu dalam perlumbaan kali ini dan saya amat berterima kasih kepada beliau dan pasukan saya untuk kemenangan ini.”

Tempat kedua menjadi milik Azroy Anuar Hakeem dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu apabila beliau menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 14’50:015s.

Tempat ketiga pula adalah milik Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 14’51:180s.

Bagi kategori CP125 pula, Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing menguasai litar Jempol dengan kemenangan pertamanya di tangga teratas.

Shafiq yang telah memulakan perlumbaan di petak grid kedua menyambar kedudukan P1 di lap pertama dan meneruskan perlumbaannya secara konsisten sepanjang 15 lap.

Beliau telah memaparkan kehandalannya dalam pengendalian jentera dengan kepantasan yang optimum sepanjang perlumbaan.

Walaupun persaingan tadi sengit di antara pelumba-pelumba CP125, kedudukan beliau tidak tergugat. Beliau menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 11’48:421s.

Pada pusingan lepas, kemenangan Shafiq di tempat kelima telah menempatkannya di tempat kedua secara keseluruhan.

Menurut Shafiq, “Sepanjang perlumbaan, saya cuba mengekalkan kedudukan saya dengan kelajuan yang konsisten.”

“Saya cuba mengelakkan sebarang kesilapan dan akhirnya berjaya memenangi pusingan ini.”

Tempat kedua diambil oleh Md Adib Rosley dari pasukan YYPang Yamaha Racing dengan catatan masa 11’51:944s. Ini adalah kemenangan pertama di podium bagi Adib bagi musim ini.

Tempat ketiga adalah milik Md Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing dengan catatan masa 11’54:706s.

Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Md Danish Aiman Zamrul sekali lagi membawa kemenangan kepada pasukannya, PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing.

Danish yang memulai perlumbaan di petak grid kedua menamatkan perlumbaan dengan suatu kejutan apabila beliau memintas rakan sepasukannya pada lap terakhir.

Danish dipintas oleh rakan sepasukannya Md Syamil Amysar Md Iffende di lap kedua. Namun begitu, beliau mendapat peluang untuk membuka langkah di lap ketujuh dan terus mengambil kesempatan untuk memintas Syamil.

Untuk empat lap seterusnya, Danish, secara konsisten mengekori Md Adam Haikal Jahar yang memulakan perlumbaan di petak grid pertama selepas mencatatkan masa terpantas di sesi “Shoot Out”. Pada lap terakhir, Danish mendapat peluang sekali lagi untuk memintas lalu mengambil alih kedudukan di P1.

Danish menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9’36:357s.

Menurut Danish, “Pada permulaan perlumbaan, saya telah buat satu kesilapan dan dipintas oleh Syamil. Namun begitu, saya cuba dapatkan kembali kepantasan jentera dan mendapat peluang untuk memintasnya.”

“Persaingan tadi sememangnya sengit. Adam agak pantas. Saya kekal konsisten sepanjang perlumbaan sehingga mendapat peluang untuk memintas Adam.”

Rakan sepasukannya, Adam mengambil tempat kedua dengan catatan masa 9’36:478s.

Tempat ketiga pula diambil oleh Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Honda KC Racing dengan catatan masa 9’41:971s.

 

CP150 Category

Md Izzat Zaidi Md Salehan, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, 14:48.244

Azroy Hakeem Anuar, HONDA YUZY IDEMITSU TEAM, 14:50.015

Ahmad Afif Amran, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, 14:51.180

Nazirul Izzat Md Bahauddin, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 14:53.739

Md Haziq Md Fairues, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 14:56.594

CP125 Category

Md Shafiq Rasol, ONEXOX TKKR RACING TEAM, 11:48.421

Md Adib Rosley, YYPANG YAMAHA RACING TEAM, 11:51.944

Md Hafiza Rofa, ONEXOX TKKR RACING TEAM, 11:54.706

Abdullah Qayyum Abd Razak, ONEXOX RACING TEAM, 11:54.949

Md Norhakim Md Norhafizullah, ONEXOX RACING TEAM, 11:55.276

Wira KBS Category

Md Danish Aiman Zamrul, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 9:36.357

Md Adam Haikal Jahar, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 9:36.478

Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, HONDA KC RACING, 9:41.971

Md Syamil Amsyar Md Iffende, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 9:42.918

Md Farid Hakimi Farid Sezli, IDEMITSU HONDA YAM RACING, 9:46.151

- Advertisement -