Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada hujung minggu ini. Md Akif Abdullah dari Honda KC Racing akan kembali untuk meneruskan momentum kejayaannya di kategori Wira KBS.

Pelumba yang berasal dari Pulau Pinang ini telah memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila beliau berjaya meraih kemenangan pertama di Jasin hampir dua bulan lepas.

Pada musim lepas, Akif telah menyertai tiga pusingan terakhir di kategori ini dan telah meraih tempat ketiga di acara penutup tirai yang telah berlangsung di litar Batu Kawan di samping kejayaannya di kategori Honda Dash 125 Challenge sebagai juara keseluruhan.

Persembahan Akif sepanjang musim lepas bukan sekadar memuaskan tetapi beliau berjaya memaparkan kemahiran berlumba dan bersaing secara kompetitif.

Menurut Akif, “Bagi saya, musim ini amat berbeza sekali terutamanya di kategori yang berlainan. Pada pendapat saya, semua pelumba hebat-hebat belaka dan persaingan juga agak sengit di antara pelumba-pelumba Yamaha. Namun begitu, saya agak bersedia dan akan menggunakan pengalaman yang telah di timba dari musim lepas untuk memberikan yang terbaik di kategori ini.”

Persembahan beliau di Litar Tangkak pada musim lepas juga tidak kurang hebat. Akif yang masih baharu di kategori Wira KBS berjaya menamatkan perlumbaannya di tempat keempat pada musim lepas.

Beliau mempunyai kebolehan untuk belajar dan memahami litar serta cara pengendalian jentera dengan cepat walaupun masih kurang pengalaman pada ketika itu. Untuk pusingan yang akan datang, persaingan dijangka lebih sengit, lebih-lebih lagi di litar yang agak teknikal.

Akif berkata, “Bagi saya, litar Tangkak adalah salah satu daripada litar kegemaran saya. Saya agak yakin di litar ini dan saya rasa saya boleh menang di situ. Saya berjaya meraih kejuaraan di situ bagi kategori Honda Dash dan ia merupakan suatu kenangan yang sangat manis untuk saya.

“Sudah pasti saya ingin melakar sejarah bagi diri saya di litar tersebut. Dari segi persediaan, saya menjalani latihan intensif di Indonesia bersama teman-teman dari Pulau Pinang di bawah kendalian pakcik saya sendiri dan bersama Doni Racing School 35 di Litar Sentul. Selain itu, pihak Boon Siew juga telah menghantar saya ke Thailand untuk pusingan pertama Talent Cup tempoh hari. Dengan latihan-latihan yang saya lakukan, saya agak yakin dengan pusingan yang akan datang nanti.”

“Selain itu juga, pasukan saya juga telah membuat persediaan yang rapi di Litar Tangkak pada minggu lepas. Perubahan terbaru bagi motosikal saya adalah dari segi sistem “brake”. Bagi saya, kelebihan jentera saya mungkin dari segi “setup” yang amat baik seperti yang telah disediakan oleh pasukan saya. Yang pastinya, “setup” untuk pusingan ini sudah dapat.

“Pesaing-pesaing saya sudah semestinya pelumba-pelumba Yamaha terutamanya Farees Putra dan Adib. Tidak lupa juga, adik saya iaitu Akid Shah yang juga tidak kurang hebat, lebih-lebih lagi dengan latihan-latihan yang dilakukan serta “testing” oleh pasukan-pasukan Yamaha. Namun begitu, matlamat saya bagi musim ini adalah untuk mengutip mata dan menjarakkan jumlah daripada pesaing-pesaing lain.”

- Advertisement -