Pusingan 8 Kejohanan Malaysia Cub Prix yang diadakan di Litar Tangkak telah memberikan satu cabaran hebat kepada pasukan Tune Boss Pink Racing (TBPR).

Ini dapat dilihat apabila pelumba TBPR, Saiful Azhary mengalami masalah teknikal pada jentera miliknya sewaktu awal perlumbaan. Menurut Pengurus pasukan Tune Boss Pink Racing Atikah Azwar, masalah yang dihadapi pada jentera pelumba berlaku pada sesi latihan bebas kelmarin.

“Pihak kru teknikal kami berusaha untuk memperbaiki masalah yang dihadapi pada jentera kami, namun masalah yang sama tetap terjadi pada pusingan ke 8 ini, masalah yang dihadapi ini adalah diluar jangkaan kru teknikal kami,

“Saya akur dengan apa yang berlaku, ini merupakan aksi sulung pasukan kami di Litar Tangkak ini, InsyaAllah pada musim akan datang kami akan lebih bersedia dan akan memberikan aksi yang terbaik, katanya lagi.

Sementara itu, bagi pelumba TBPR yang lain, Harith Farhan telah mempamerkan aksi yang menarik, namun pada pusingan ke 3, jenteranya terlibat dalam perlanggaran kecil dengan jentera pesaing yang lain, namun itu tidak mematahkan semangat Harith untuk meneruskan perlumbaan dan beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ke 14 dan manakala bagi Siti Norhafizah atau lebih dikenali sebagai Fifi di tempat ke 17.

Ini membuatkan kutipan mata keseluruhan pasukan Tune Boss Pink Racing kini sebanyak 98 mata dan berada di tempat ke 6. TBPR akan meneruskan dan memberikan saingan yang hebat pada pusingan akan datang di Litar Antarabangsa Sepang (Sepang Selatan) yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Disember ini.

- Advertisement -