Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan telah dipilih sebagai Presiden MFL baharu bagi menggantikan Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Pelantikan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL hasil daripada Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini selepas menerima surat peletakan jawatan daripada Datuk Haji Hamidin bertarikh 12 Ogos 2021.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah MFL, Joehari Ayub yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan secara dalam talian, kesemua tujuh Ahli Lembaga Pengarah yang bersidang sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Dato’ Ab Ghani.

Joehari berkata, beliau bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL menghormati keputusan Datuk Haji Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan jawatannya dan percaya Dato’ Ab Ghani dapat mengisi kekosongan itu dengan baik berdasarkan pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak.

“Datuk Haji Hamidin telah mengotakan janjinya di mana beliau sendiri telah menyatakan untuk melepaskan jawatan Presiden MFL ketika berucap dalam Kongres FAM ke-57 pada Mac lalu.

“Kami barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL mengakui sedih dengan keputusan ini tetapi kita harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Haji Hamidin. Kami amat berterima kasih di atas segala sumbangan dan komitmen tinggi yang diberikan oleh Datuk Haji Hamidin sepanjang menerajui MFL.

“Justeru, selepas mengadakan perbincangan, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah membuat keputusan untuk memilih Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani sebagai presiden baharu bagi menggantikan ketiadaan Datuk Haji Hamidin.

“Pemilihan Dato’ Ab Ghani sebagai presiden MFL baharu dilihat adalah satu langkah dinamik di mana beliau sendiri merupakan CEO MFL dan lebih arif dalam sistem pengurusan Liga Malaysia ini.

“Kami percaya bahawa Dato’ Ab Ghani dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Datuk Haji Hamidin untuk memacu MFL ke arah lebih cemerlang dan positif,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Datuk Haji Hamidin dipilih sebagai Presiden MFL selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan selaku Pengerusi MFL pada September 2019.

Sepanjang menjadi Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin telah berjaya membawa masuk kembali penaja utama, Telekom Malaysia (TM) selain penaja baharu CIMB Bank yang julung kali menjadi penaja utama saingan Liga Super pada tahun 2020 serta berusaha keras memastikan kelangsungan Liga Malaysia 2021 selepas kalendar Liga Malaysia 2020 terpaksa dipendekkan akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani pula telah bersama dalam pengurusan tertinggi MFL sejak 17 April 2019 apabila dipilih menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Beliau kemudian dilantik sebagai CEO MFL pada 1 Mac 2020 di mana sebelum itu beliau hanya bertindak sebagai pemangku CEO MFL secara sementara pada 1 Disember 2019 susulan peletakan jawatan Kevin Ramalingam.

Dato’ Ab Ghani yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan kini menjadi individu keempat yang dipilih sebagai Presiden MFL selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, Tunku Ismail dan Datuk Haji Hamidin.

Dalam perkembangan sama, Joehari memaklumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah MFL akan mengumumkan calon CEO MFL baharu dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Dato’ Ab Ghani.

“Buat masa ini, Dato’ Ab Ghani akan memangku tugas CEO MFL buat sementara waktu dan beliau akan mengumumkan pelantikan CEO MFL baharu pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL akan datang,” katanya.

- Advertisement -