Deaflympics Musim Panas ke-25 melabuhkan tirainya hari ini pada satu majlis penutupan yang penuh warna-warni di Tokyo Metropolitan Gymnasium — penutupan yang sempurna selepas 12 hari penuh aksi dan berkelas dunia, pelbagai detik dan kisah kemenangan peribadi dan luar biasa.

Bagi Malaysia, kempen di Tokyo menyerlahkan gabungan dua rasa – bangga dan agak kecewa apabila kontinjen negara menamatkan cabaran dengan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa — kurang sedikit daripada sasaran awal tiga emas. Namun, perjalanan di Tokyo turut menyerlahkan sesuatu yang jauh lebih bermakna iaitu kemunculan generasi baharu atlet pekak negara yang semakin menyinar yang menjanjikan sesuatu yang positif.  

Pingat emas Malaysia hadir menerusi acara boling beregu lelaki, manakala skuad boling beregu wanita serta acara karate kumite individu lelaki bawah 84kg menyumbang dua pingat perak. Pasangan badminton beregu campuran pula menghadiahkan gangsa yang bermakna kepada kontinjen.

Walaupun beberapa peluang pingat tersasar dalam boling dan badminton — dua acara tradisi kuat negara — kempen di Tokyo hakikatnya bukanlah satu kegagalan. Sebaliknya, pengalaman ini menjadi batu loncatan penting. Atlet muda menunjukkan kematangan, ramai berjaya memecahkan rekod peribadi dan mara ke final yang membuktikan mereka kini bersedia memberi saingan lebih sengit di peringkat antarabangsa.

Acara olahraga turut memberikan sinar cerah untuk masa depan. Dua muka baharu, Zaiman Megat Abu dan Azlan Kuste, berjaya mara ke pusingan akhi,; malah Azlan turut memperbaharui rekod peribadinya dalam acara 800 meter. Dalam badminton pula, barisan pemain muda — kebanyakannya berusia sekitar 21 tahun — mempamerkan potensi besar yang membuka harapan baharu menjelang empat tahun akan datang.

Deaflympics Tokyo 2025 menandakan ulang tahun ke-100 penganjuran sejak edisi pertama di Paris pada tahun 1924. Edisi kali ini menghimpunkan lebih 3,000 atlet pekak dari lebih 80 negara bagi merebut pingat dalam 21 acara sukan.

Tuan rumah bagi Deaflympics Musim Panas 2029 akan diumumkan semasa Kongres ICSD yang berlangsung di Tokyo pada 29–30 November 2025.

Ketua Kontinjen negara, Mohd Yusri Abdul Ghani, meluahkan rasa bercampur-baur, mengimbangi rasa kecewa kerana tidak mencapai sasaran dengan rasa bangga terhadap semangat juang dan ketabahan ditonjolkan atlet negara.

“Kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Beberapa faktor seperti teknikal, psikologi, serta keadaan cuaca dan kekangan fizikal — memberi kesan kepada prestasi dalam acara yang kami yakin, termasuk boling berpasukan lelaki,” jelas beliau.

“Namun, banyak juga yang boleh dibanggakan. Kita kini mempunyai atlet muda yang berjaya ke final, mencatat rekod peribadi dan menunjukkan kematangan melebihi usia mereka. Mereka akan kembali menggalas cabaran negara dan mereka akan kembali dengan lebih kuat dalam tempoh empat tahun akan datang.”

Malaysia sebelum ini berharap untuk menyamai pencapaian dua pingat emas pada Deaflympics 2022 di Brazil. Namun, dengan kehadiran skuad muda, sokongan kukuh kerajaan dan rakan penaja, serta semangat baharu dalam kalangan atlet, kontinjen negara meninggalkan Tokyo dengan tekad yang diperbaharui untuk membina kempen lebih mantap menjelang edisi Deaflympics yang seterusnya.

- Advertisement -