Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Pahang, Dollah Salleh menyifatkan keputusan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia mengenakan hukuman gantung satu perlawanan dan denda RM3,000 ke atas pemain importnya Mahamadou Sumareh sebagai mengarut.

Sebelum ini, Sumareh bersama-sama pemain Johor Darul Takzim, Afiq Fazail dikenakan hukuman itu gara-gara terlibat dalam insiden terjahan ketika perlawanan suku akhir kedua Piala FA membabitkan JDT dan Pahang di Stadium Larkin pada Ahad lalu.

Mengakui terkejut, Dollah berkata Sumareh adalah mangsa dalam kejadian terjahan tersebut justeru berkata keputusan dibuat Jawatankuasa Disiplin FAM adalah seperti sebuah kisah dongeng.

“Saya pun pelik, ini satu penganiayaan buat Sumareh, saya tidak tahu apa kesalahan dilakukan Sumareh dan punca dia dikenakan hukuman itu. Jika tengok semula video, Sumareh diterjah oleh pemain lawan dan ketika itu pengadil pun tidak melayangkan sebarang kad kepada Sumareh kerana dia adalah mangsa, tetapi tiba-tiba jawatankuasa disiplin pula yang mengenakan hukuman kepadanya.

“Ini sudah seperti cerita dongeng, yang tidak bersalah dikenakan hukuman. Saya tidak faham bagaimana seorang pemain yang merupakan mangsa (terjahan) boleh digantung dan didenda, saya tidak puas hati dengan keputusan ini,” ujar Dollah.

Dollah turut menambah bahawa FAM perlu memberi penjelasan mengenai perkara ini, “Kita masih belum menerima sebarang pemakluman rasmi dari FAM mengenai status dan sebab penggantungan Sumareh, sepatutnya FAM jelaskan kepada kita sebelum buat keputusan. Apa yang kita persoalkan kenapa yang tidak bersalah turut dikenakan hukuman.”

Dengan hukuman ini, Sumareh dijangka terlepas aksi getir separuh akhir Piala FA Pahang menentang Negeri Sembilan pada Ahad ini.

Untuk rekod, Jawatankuasa Disiplin di bawah Dato’ Baljit Singh Sidhu sememangnya membuat beberapa keputusan mengelirukan sejak kebelakangan ini. Antara yang paling nyata adalah apabila Nazmi Faiz yang menyepak pemain Pahang dalam insiden sama tidak dikenakan sebarang tindakan.

Namun, keputusan itu diubah semula kurang 24 jam selepas itu setelah mengundang kritikan ramai di mana Nazmi turut dikenakan hukuman gantung satu perlawanan dan RM3,000 yang dianggap ramai sebagai hukuman tidak setimpal dengan perbuatan kurang bijak pemain itu.

- Advertisement -