SMK Bukit Nenas (Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu), bangkit daripada ketinggalan diawal permainan sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas SMK Seri Titiwangsa (SSN Kuala Lumpur) dalam saingan Liga Piala Remaja KPM-FAM Bawah 17 Tahun 2025. Perlawanan yang berlangsung pada Sabtu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan penguasaan awal SMK Seri Titiwangsa apabila membuka tirai gol seawal minit ke dua perlawanan hasil tandukan Muhd Hafiz Hashim. Pelawat kendalian Asman Ismail tidak merasakan tekanan sebaliknya mengatur gerakan untuk terus menguji kubu lawan. Kesabaran mereka nyata membuahkan hasil apabila dua gol dicetak dalam tempoh lima minit. Ahmad Baihaki Mohd Adri bijak menghidu peluang untuk menanduk masuk gol penyamaan di minit ke 35 sebelum lorongan rakan sepasukan dikawal dengan kemas sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Daiyan Akif Dazain buat kali kedua di minit ke 40. Deretan peluang dan usaha dilakukan SMK Seri Titiwangsa untuk sekurang kurang nya menyamakan kedudukan tidak berhasil menyaksikan kedudukan 2-1 memihak SMK Bukit Nenas kekal hingga tamat perlawanan. “Pasukan saya majoritinya berusia 16 tahun,hanya dua orang sahaja berusia 17 tahun tetapi mereka dapat mempamerkan permainan mengikut apa yang telah di rancang ketika latihan. “Saya telah memberi tahu kepada pemain, untuk mendapatkan rentak diawal mungkin sukar dan kelebihan milik pasukan tuan rumah. Kesilapan pertahanan menghukum kami tetapi mereka kembali menyusun permainan dan berjaya menghasilkan dua gol,”. Kata Jurulatih SMK Bukit Nenas, Asman Ismail. Ini merupakan perlawanan pertama SMK Bukit Nenas dalam saingan Liga Piala Remaja KPM-FAM Bawah 17 Tahun 2025 sekaligus meletakkan mereka di tangga ketiga Kumpulan B manakala SMK Seri Titiwangsa menghuni tangga ke lima dengan tiga mata selepas dua perlawanan. Terdahulu, sebelum sepak mula, berlangsung Majlis Sepak Mula Liga Bolasepak Liga Piala Remaja KPM-FAM bagi tahun 2025. Majlis ini turut memeterai perjanjian yang telah terjalin sejak 2008 diantara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan pengeluar minuman isotonic nombor satu negara 100PLUS sebagai penaja utama Menerusi perjanjian ini, 100PLUS juga terus komited untuk menjadi penaja bagi Liga Sukan KPM, dimana ia bukan sahaja menumpukan saingan liga bolasepak KPM B14 dan B17 tetapi liga bola jaring, Liga Olahraga dan Liga sepak takraw. 

Majlis dihadiri Pengarah Penglibatan Kerajaan & Industri Fraser & Neave (F&N) Holding Berhad Norazrin Norsyam Yee, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Dato’ TS Dr Aminuddin Hassim, dan Ahli Jawatan Kuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Zainal Abidin Hassan.

- Advertisement -