Di sebalik pernah melahirkan begitu ramai pemain bertaraf dunia, Malaysia tidak pernah memenangi pingat emas boling padang dalam acara perseorangan di pentas Sukan SEA sejak sukan itu dipertandingkan buat pertama kali di Brunei 1999.

Malaysia hanya pernah memenangi tiga pingat perak dan sebutir gangsa dalam acara perseorangan sepanjang empat edisi boling padang dipertandingkan.

Pingat perak dimenangi Saedah Rahim di Brunei 1999 dan Siti Zalina Ahmad di temasya KL 2001 dan Korat 2007. Siti Zalina yang merupakan pemenang pingat emas dua kali di Sukan Komanwel turut memenangi gangsa di Manila 2005.

Justeru, pemain perseorangan wanita negara, Emma Firyana Saroji tekad mahu menoktahkan badi tersebut di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.

“Berdasarkan prestasi semasa dan peningkatan dari tahun lalu, memang keyakinan saya cukup tinggi dapat menamatkan kemarau emas dalam acara perseorangan. Tetapi saya tetap perlu akui ia bukan semudah disangka dan tidak boleh sama sekali memandang mudah keupayaan lawan.

“Pencabar dari Thailand, Singapura dan Filipina semuanya pernah memenangi emas acara perseorangan. Sudah tentu mereka datang ke sini dengan persiapan rapi. Namun, saya percaya pada kekuatan kita kerana kita juga telah membuat analisa dan menjalani latihan di luar negara sepanjang tahun ini.  

“Saya pasti ia akan membantu kita untuk memenangi empat emas sepertimana disasarkan dan saya mahu menyumbang satu daripada emas tersebut,” kata Emma Firyana yang akan membuat penampilan kedua di Sukan SEA selepas penampilan sulung 10 tahun lalu di Korat.  

Emma Firyana ditemui Sports247 ketika hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Institut Sukan Negara dan Yakult Malaysia, Monash University Malaysia dan UMP Training & Consultancy Sdn Bhd di Putrajaya pada Khamis. 

Juara dunia World Champion of Champion 2015 itu turut menegaskan bahawa bermain di green baru di Bukit Kiara juga merupakan satu cabaran besar yang perlu diatasi atlet negara setelah melihat mereka bergelut menyesuaikan diri ketika Kejohanan Pra Sukan SEA bulan lalu.

Di kejohanan itu, Malaysia memenangi empat daripada lapan emas dipertandingkan dengan Emma Firyana turut menyumbang satu daripadanya. Tiga lagi emas hadir menerusi Siti Zalina-Auni Fathiah Kamis (beregu), Nur Ain Nabilah-Nurul Alyani Jamil-Nur Fidrah Noh-Nor Hashimah Ismail (fours).

Persatuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) menyenaraikan barisan pemain terbaik mereka bagi mengalas cabaran di KL 2017 termasuklah beberapa bekas juara dunia seperti Safuan Said (2008 World Bowls), Mohd Hizlee Abdul Rais (2012 World Champion of Champions), Siti Zalina (Piala Dunia 2015) selain Emma sendiri. –

- Advertisement -