Faisal Halim, anak kampung yang membesar dengan impian besar, kini berpeluang menjulang trofi kelab paling berprestij di rantau ini – Kejohanan Kelab ASEAN Shopee Cup™ – sekali gus melengkapkan kisah kebangkitannya yang luar biasa.

Pemain sayap berusia 28 tahun itu bakal mengetuai Selangor FC dalam aksi timbal balik final menentang juara bertahan dari Thailand, Buriram United FC, dengan Red Giants menjadi tuan rumah perlawanan pertama di Stadium MBPJ pada malam Rabu.

Perjalanan Faisal telah banyak diperkatakan dan penuh dengan cabaran. Lebih dua tahun lalu, beliau menjadi mangsa serangan asid yang hampir memaksanya meninggalkan bola sepak selepas mengalami melecur tahap empat pada bahagian leher, bahu, dada dan tangan.

Menjuarai Shopee Cup™ akan menjadi ganjaran paling bermakna buat ketabahan dan semangat juangnya, selain membantu sebuah kelab bersejarah seperti Selangor mengembalikan era kegemilangan mereka. Selangor tidak pernah memenangi trofi utama sejak menjulang Piala Malaysia pada tahun 2015.

“Tiada apa lagi yang perlu ditahan. Kami perlu memberikan yang terbaik untuk kelab dan diri sendiri. Saya percaya bukan mustahil untuk Selangor berjaya. Kami tiada apa untuk rugi. Kami hanya perlu menikmati suasana perlawanan, memberikan yang terbaik dan harapnya kami mampu memenangi trofi ini.

“Jika Selangor berjaya memenangi Shopee Cup™, ia akan mencipta lembaran sejarah baharu buat diri saya dan juga kelab,” kata Faisal yang telah menjaringkan empat gol dalam kejohanan ini.

Dilahirkan di sebuah kampung kecil di negeri Pulau Pinang, Faisal mula diperkenalkan kepada bola sepak oleh bapanya ketika berusia empat tahun dan membesar bermain bersama tiga abang kandungnya. Beliau kemudiannya mengagumi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, dengan bintang Portugal itu menjadi inspirasi kepada gaya sambutan “Siu” miliknya serta pilihan memakai jersi nombor 7.

Bakat semula jadi Faisal membawanya ke England pada usia 16 tahun apabila beliau menjadi salah seorang pemenang program realiti pencarian bakat bola sepak. Beliau berpeluang menjalani latihan di Akademi Manchester United dan menyaksikan perlawanan di Old Trafford, stadium keramat yang dikenali sebagai Theatre of Dreams, pengalaman yang menyemarakkan lagi cita-citanya.

“Pada ketika itu, saya sedar inilah kerjaya yang saya mahukan,” ujar Faisal, yang turut berpeluang bertemu pemain seperti Ashley Young, Danny Welbeck dan Marouane Fellaini. “Kami melihat latihan berkualiti tinggi, bertemu pemain Manchester United dan menonton perlawanan. Semangat saya untuk menjadi pemain bola sepak semakin kuat dan dari situ saya menjadi lebih berazam untuk mengejar impian.

“Saya menjadi lebih fokus dan berdisiplin, dan saya berkata kepada diri sendiri bahawa inilah jalan hidup saya. Saya akan lakukan apa sahaja untuk menjadi pemain bola sepak profesional.”

Pada usia 17 tahun, Faisal diserap masuk ke pasukan negeri kelahirannya, Pulau Pinang, sebelum menikmati tempoh bersama Terengganu dan Pahang, di mana beliau membantu pasukan itu menjuarai Piala FA pada tahun 2018.

Beliau menyertai Selangor pada penghujung tahun 2022 dengan cita-cita membantu kelab itu – juara rekod 33 kali Piala Malaysia – kembali ke puncak bola sepak Malaysia.

“Saya tahu harapan di Selangor sangat tinggi kerana mereka adalah kelab besar. Bersama kelab besar datang tekanan yang besar. Tekanan di sini memang tinggi tetapi tekanan itulah yang membantu seseorang pemain berkembang dan berjaya,” kata Faisal.

Kini Buriram United yang cukup digeruni menjadi penghalang terakhir Selangor untuk menguasai bola sepak kelab ASEAN, namun kejayaan cemerlang menewaskan Nam Ðịnh FC – Selangor menang 2-1 di laman sendiri dan 2-0 di tempat lawan pada separuh akhir – menguatkan lagi keyakinan Faisal bahawa tiada apa yang mustahil.

Selangor juga masih belum tewas dalam kejohanan ini dengan empat kemenangan dan tiga keputusan seri, termasuk keputusan seri 1-1 yang menaikkan semangat ketika bertemu Buriram United di Thailand dalam aksi peringkat kumpulan Ogos lalu.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka pencapaian ini (kekal tanpa kalah). Itu sesuatu yang sangat positif untuk pasukan,” katanya. “Sebagai pemain, kami semua mahu menang untuk pasukan. Paling penting, Shopee Cup™ ialah pertandingan antarabangsa, tahapnya lebih tinggi daripada bola sepak domestik.

“Bukan mudah untuk sampai ke final dan dapat mara sejauh ini pun sudah merupakan satu pencapaian besar. Kami tahu kami akan berdepan pasukan gergasi, lawan yang sangat kuat. Bagi saya, ini adalah cabaran terakhir musim ini.”

Beliau turut memuji pengaruh ketua jurulatih Kim Pan-gon yang menyertai Selangor pada Januari lalu dan berjaya membawa pasukan melalui hanya satu kekalahan dalam 21 perlawanan semua pertandingan. Faisal percaya penyerang Brazil yang sedang berada dalam prestasi terbaik, Chrigor Moraes, yang menjaringkan kesemua gol Selangor di separuh akhir, akan memainkan peranan penting dalam final nanti.

“Coach Kim sentiasa menekankan supaya jangan sesekali berputus asa kerana perlawanan bola sepak berlangsung selama 90 minit. Beliau tekankan bahawa perpaduan adalah perkara paling penting. Jika kami bekerja bersama sebagai satu pasukan, kami akan memperoleh keputusan yang baik,” kata Faisal.

“Chrigor adalah penyerang yang memiliki kualiti luar biasa, antara pemain import terbaik yang pernah dimiliki Selangor. Dia muda, pantas dan mempunyai penyudah yang sangat baik. Dia boleh menjaringkan gol dari hampir mana-mana posisi. Setiap kali saya menghantar bola kepadanya, saya sudah rasa peluang itu akan menjadi gol.”

Parut akibat serangan pada tahun 2024 itu akan kekal bersama Faisal, namun pemain antarabangsa Malaysia itu kini didorong oleh sesuatu yang lebih besar – untuk menjadi versi terbaik dirinya sendiri.

“Walaupun wajah saya berbeza sekarang, hati dan semangat saya masih sama,” katanya.

“Saya menerima apa yang telah berlaku sebelum ini. Saya bersemangat untuk bekerja keras dalam setiap perlawanan dan sesi latihan untuk menjadi yang terbaik. Saya sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan dan juga diri saya sendiri.” – aseanutdfc.com

- Advertisement -