Farah Ann

Oleh Muhammad Aiman

Gimnas kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi melakar sejarah di bumi Ljubljana apabila meraih pingat perak dalam kategori palang bertingkat di Kejohanan Gimnastik Piala Dunia yang sedang berlangsung di Slovenia, awal pagi tadi.

Kejayaan itu menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu muncul gimnas wanita pertama negara untuk menjejak podium di kejohanan Piala Dunia.

Farah, atlet kelahiran Selangor meraih pingat perak setelah mengutip 13,100 mata, tewas kepada atlet tuan rumah, Ivana Kamnikar yang meraih emas dengan 13,150 mata manakala gangsa pula menjadi milik seorang lagi atlet Slovenia, Teja Belak yang mengumpul 12,900 mata.

Kejayaan itu bagaimanapun belum menjamin tempat buat Farah di Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang hanya menawarkan kelayakan di dua kejohanan utama iaitu Kejohanan Dunia dan Kejohanan Pra Ujian yang akan berlangsung di Rio pada 16-18 April depan.

Farah berpeluang menambah pingat buat kontijen negara apabila beraksi dalam acara batang titian dan senaman lantai, awal pagi esok.

Sementara itu, Farah dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam laman facebook peribadinya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, Nataliya Sinkova yang bertanggungjawab mengangkatnya ke kedudukan ini.

“Saya tidak mungkin berada di sini dan mencapai kejayaan ini kalau bukan kerana beliau (Nataliya). Beliau bertanggungjawab membentuk saya menjadi gimnas terbaik dan mengetengahkan apa yang terbaik dari diri saya.

“Setiap kejayaan ini adalah kerana tunjuk ajarnya. Terima kasih juga kepada jurulatih Ng Shu Wai yang banyak membantu serta semua rakan sepasukan yang tidak putus memberikan sokongan. Tidak lupa juga kepada keluarga saya dan semua yang sentiasa menyokong saya,” kata Farah.

- Advertisement -